Harga kek hari jadi Fida Ibrahim RM50,000

fida_harijadi

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Fida Ibrahim diraikan sempena sambutan hari lahirnya ke-30 dengan kek bernilai RM50,000 dan majlis di sebuah restoran yang dikatakan dengan kos RM100,000, minggu lalu.

Fida yang pernah popular dengan lagu “Apo Kono Eh Jang” pada 6 Mei memuat naik gambar kek tiga tingkat di akaunnya di Instagram dengan kapsyen menyatakan nilainya mampu membeli kereta Myvi secara tunai.

Bercakap kepada Mstar, Fida berkata nilai kek itu mahal kerana ia termasuk seutas jam tangan Rolex yang berharga lebih RM40,000 hadiah daripada rakan-rakannya.

“Nilai kek RM50,000 itu termasuk harga jam yang dihias di atas kek tersebut, jam jenama Rolex itu hadiah istimewa daripada kawan-kawan rapat dan rakan kongsi bisnes saya.

“Kek istimewa seberat 20 kilogram yang dihasilkan oleh Datuk Fazley Yaakob itu juga agak mahal dan eksklusif,” katanya.

Pelakon filem “Man Sewel Datang KL” itu berkata majlis hari jadinya diadakan di restoran The Row dan ia adalah kejutan yang dianjurkan rakan-rakannya dengan kehadiran 100 orang tetamu serta persembahan kumpulan muzik kegemarannya 6ixth Sense.

“Saya pada mulanya agak terkejut dan marah apabila mereka beritahu majlis tersebut cecah RM100,000 tapi bila mereka jelaskan tujuan sebenarnya saya terpaksa akur.

“Mereka hanya mahu saya gembira pada hari jadi ke-30 ini setelah penat bekerja menguruskan perniagaan,” katanya, yang bakal membuka kilang kosmetik sendiri di Melaka.