Abdullah berkhidmat dengan Tun Razak

Tun-Musa-Hitam

KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdullah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Dollah Kok Lanas, 79, yang meninggal dunia akibat kanser esofagus hari ini pernah berkhidmat dengan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein selama 14 tahun bermula dari tahun 1962 hingga 1976.

Pemergian Abdullah yang disifatkan oleh kenalannya sebagai seorang yang berdedikasi ketika menjalankan tugas merupakan satu kehilangan besar kepada arena politik negara.

Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata Abdullah merupakan contoh terbaik kepada sesiapa yang berminat menceburi bidang politik.

“Walaupun diberikan tugasan yang sukar, beliau mampu menyelesaikannya,” katanya ketika ditemui di rumah Abdullah di sini, hari ini.

Sementara itu, Anggota Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah yang mengenali Abdullah sejak lebih 50 tahun lalu berkata: “Terlalu banyak kisah antara kami sehingga tidak dapat diceritakan”.

Dilahirkan pada 4 Julai 1937 di Kampung Bandar, Machang, Kelantan, Abdullah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Padang Garong di Kota Baharu sebelum ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan seterusnya dianugerahkan sebagai Felo
Kongres selama 18 bulan oleh Persatuan Sains Politik Amerika Syarikat untuk mengkaji sistem politik Amerika pada 1960.

Beliau kemudian memperoleh ijazah Master of Letters dari Universiti Cambridge di England.

Perjalanan karier Abdullah bermula apabila beliau menjadi pegawai khas kepada Tun Razak pada 1962 sebelum dilantik menjadi setiausaha politik pada 1963.

Pada 14 Januari lepas, sempena majlis Legasi Kepimpinan: Seminar Khas Memperingati Tun Abdul Razak di ibu negara, Abdullah dalam ucapannya berkata: “Tun Abdul Razak adalah individu yang telah mempunyai pengaruh besar dalam politik dan kehidupan rakyat Malaysia pada tahun 70-an”.

Abdullah turut menjadi Ketua UMNO Bahagian Machang dan Anggota Parlimen Machang pada 1974 apabila menang pada Pilihan Raya Umum Ke-4.

Pada tahun 1976, Abdullah disingkirkan dari UMNO susulan penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Enam tahun berikutnya beliau menyertai semula UMNO dan seterusnya menjadi Ketua UMNO Bahagian Kok Lanas (dahulu dikenali sebagai Machang) dan anggota Parlimen Kok Lanas pada Pilihan Raya Umum ke-7 pada 1986.

Beliau menjadi anggota Parlimen Kok Lanas untuk satu penggal sahaja apabila gagal mengekalkan kerusi Parlimen itu selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-8 pada tahun 1990.

Kerjaya kewartawanan Abdullah bermula sebagai pemberita di New Straits Times pada tahun 1957.

Abdullah pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah bagi Utusan Melayu (M) Berhad pada 1995 di samping menjawat jawatan sebagai Pengarah di Utusan Melayu Singapura.

Allahyarham juga merupakan Pengarah Eksekutif Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) pada tahun 2000 sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NSTP bermula tahun 2001 sehingga beliau lepaskan jawatan pada tahun 2003.

Dalam sektor kerajaan, Abdullah pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1974 serta Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Alam Sekitar pada 1976.

Abdullah juga pernah berkhidmat sebagai Duta Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi tempoh antara tahun 1995 hingga 2000 bagi menggantikan Tun Musa Hitam.

Abdullah pernah menulis buku bertajuk ‘Tunku Abdul Rahman and Malaysia’s Foreign Policy: 1963 – 1970’ serta ‘Issues in Malaysian Politics’ yang diterbitkan oleh Institute of Foreign Affairs, Singapura.

Beliau merupakan Felo bagi Pusat Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Harvard, Felo Kongres Persatuan Sains Politik Amerika dan juga pemegang amanah Yayasan Cambridge (Malaysia) Pusat Pengajian Malaysia, Komanwel, Cambridge.

Menderita akibat kanser sejak setahun lepas, Abdullah meniggalkan isteri Puan Sri Fauzah Mohamed Derus dan tiga orang anak iaitu dua lelaki, Adhha Amir, 47; dan Fuad, 42; serta perempuan, Hamdia Munirah, 45.

-Bernama