RUU Akta 355 tidak boleh digunakan ke atas bukan Islam -Hadi

hadi-zaid

SEKINCHAN: Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta 355 Mahkamah Syariah tidak boleh digunakan untuk menangkap penganut bukan Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, Mahkamah Syariah yang terletak di bawah kuasa kerajaan negeri masing-masing tidak mempunyai kuasa untuk hukum orang bukan Islam.

“(Hukuman kepada orang bukan Islam) tidak ada dalam undang-undang persendirian, kerana ia hanya mengangkat taraf mahkamah.

“Ada pun hukuman bidang kuasa di bawah kerajaan negeri, Mahkamah Syariah tidak boleh hukum orang bukan Islam,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Pasar Sekinchan, hari ini.

Hadi berkata demikian bagi membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau menjelaskan lagi situasi semasa di mana kuasa Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret.

Bahkan, tambahnya RUU yang dibawa ke Parlimen itu bukan untuk mengubah hukuman tetapi cara hukuman seperti cara sebatan kepada pesalah.

“Hukuman sebatan ini lebih kepada mendidik masyarakat, bukan menghukum masyarakat. Hukuman yang ada enam sebatan bezanya enam kali kalau sekali sebat sakitnya rasa macam hendak mati hingga memecahkan kulit.

“Sebatan dalam Islam pula macam cikgu pukul anak murid. Tidak boleh pecahkan kulit, tetapi didedahkan kepada khalayak ramai dan memalukan, ini boleh mendidik masyarakat,” katanya lagi.