‘Amanah akan terus perjuang Islam progresif’

Dzulkefly-Ahmad_amanah_600

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara berikrar akan terus memperjuangkan Islam “progresif” bagi menambag baik proses “membina semula negara”.

Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan partinya akan menjalankan misi tersebut menerusi prinsip saling mempercayai dan hormat-menghormati seperti yang dianjurkan Islam.

Menurut beliau, perjuangan Amanah adalah berdasarkan prinsip “Karamah Insaniyah” (harga diri), di mana ia komited menamatkan semua dasar tidak adil dan bersifat diskriminasi kaum, agama dan kesetiaan politik.

Katanya, Amanah akan menganjurkan nilai Islam sejajar dengan seruan Al-Quran iaitu sebagai “rahmat kepada sekalian alam”.

Merujuk pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Dzulkefly membidas cara kempen yang dilakukan Umno dan PAS.

Beliau turut merujuk kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkata pengundi bakal ditimpa “dosa dan kecelakaan” sekiranya mengundi calon yang salah, serta ugutan tersirat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang beliau dapat mengenal pasti mereka yang mengundi calon selain BN.

Dzulkefly berkata PAS dan Umno sebenarnya bekerjasama dalam mengangkat agenda ketuanan Melayu bertopengkan kepentingan Islam.

Beliau berkata kempen Amanah meletakkan fokus penuh terhadap isu ekonomi dan kos sara hidup, konflik kaum dan agama dan fahaman sempit yang disebarkan kerajaan melalui penggunaan hukum dalam Islam.