Saya maafkan Tun Mahathir – Hadi

hadi_mahathir_pas_600

KUALA KANGSAR: Walaupun PAS berkali-kali diserang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, parti Islam itu tetap memaafkan segala perbuatan pemimpin veteran UMNO itu.

Presidennya Datuk Abdul Hadi Awang berkata demikian secara terbuka di depan penyokongnya pada satu Forum Perdana semalam.

“Terutamanya berkenaan hudud. Saya tahu Tun Mahathir ini sudah lama dendam dengan PAS sebab dia pernah kalah dulu dengan kita.

“Dan Tun Mahathir kata saya tak reti Islam. Saya mengaji bab Islam. Tun Mahathir, dia mengaji bab perubatan.

“Bukan saya nak hina dia (Tun Mahathir), tetapi malangnya dia tidak baca pasal Islam ini. Kita maafkan dia tidak baca. Patutnya dia bacalah. Kalau tidak baca jadi bahaya.

“Kalau Islam tak baca Islam, umur 90 tahun pun tak baligh lagi. Sangat malang,” katanya di Dataran Ketior Manong, malam tadi.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Hadi berkata tindakan Tun Mahathir menyatakan sokongan terhadap AMANAH tidak akan menjejaskan PAS di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Hadi percaya parti Islam itu mampu membuat kejutan untuk memenangi PRK di kawasan itu.

“Saya tidak bimbang. Kita lihat PRK (Kuala Kangsar) jadi penentu,” katanya ringkas.

Mahathir juga sebelum ini merayu kepada pengundi di Kuala Kangsar supaya memberikan undi mereka kepada calon AMANAH, Dr Ahmad Termizi Ramli.