Muhammadiyah desak kerajaan Indonesia sekat porno Internet

2Muhammadiyah_porn_web_600

PETALING JAYA: Pertubuhan Muhammadiyah mendesak kerajaan Indonesia menutup terus laman web lucah yang boleh dicapai menerusi Google dan YouTube susulan kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak baru-baru ini, lapor The Jakarta Post.

Kira-kira 50 anggota Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di Surabaya, Jawa Timur semalam mendesak Kementerian Komunikasi dan Informasi menutup akses pornografi kepada pengguna Internet republik itu.

Mereka membangkitkan beberapa kes rogol berprofil tinggi termasuk kejadian rogol dan bunuh YY yang berusia 14 tahun dari Bengkulu, dan keganasan seksual terhadap kanak-kanak empat tahun di Surabaya oleh sekumpulan lapan pelaku.

Setiausaha Muhammadiyah Surabaya, M. Arief An, berkata kedua-dua kes itu mempunyai persamaan iaitu pelaku dilaporkan menonton pornografi sebelum melakukan jenayah mereka.

“Kes seumpama itu sangat membimbangkan, ini ialah kecemasan pornografi,” kata Arief ketika menyampaikan ucapannya pada perhimpunan.

Katanya, peningkatan kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak ialah contoh kesan negatif terhadap akses kepada imej pornografi dan filem atas talian yang terlalu mudah diperoleh.

“Sekat serta-merta laman web lucah di Google dan YouTube,” katanya.

Beliau berkata, Muhammadiyah Surabaya memberikan kata dua kepada Google dan Youtube Indonesia untuk menutup laman web porno dalam tempoh seminggu, atau langkah taktikal akan diambil jika desakan mereka ditolak.

Persatuan Muslim Intelektual Indonesia (ICMI) sebelum ini membuat tuntutan serupa dan turut mendesak kementerian berkenaan menyekat Google dan YouTube minggu lalu kerana syarikat berkenaan “mempromosikan isi kandungan ganas dan lucah”.

Sementara itu, kementerian terbabit berkata mustahil menyekat syarikat besar penyedia capaian Internet.