SUNGAI BESAR: Naib Presiden PKR Tian Chua mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas ahli Parlimennya, S. Manikavasagam.
Sehubungan itu, katanya kepimpinan tertinggi PKR akan memanggil bekas ahli Parlimen Kapar itu secepat mungkin bagi mendapatkan penjelasan sebab beliau ditahan.
“Kami dengar berita beliau ditahan malam tadi dan sudah diikat jamin pagi ini.
“Kepimpinan tertinggi PKR akan mendapatkan penjelasan beliau sendiri kerana maklumat yang kami terima masih kabur setakat ini,” katanya pada sidang media di Pejabat PKR, hari ini.
Bagaimanapun, katanya isu penahanan Manikavasagam tidak boleh dikaitkan dengan calon Pakatan Harapn (PH) yang bertanding pada PRK di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
“Penahanan itu tidak ada kaitan dengan calon Pakatan Harapan dan jika ia dikaitkan ia akan dilihat sebagai berunsur politik.
“Kita akan terus pertahankan integriti dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan SPRM menahan seorang bekas ahli Parlimen PKR kerana didakwa menerima RM30,000 rasuah daripada seorang kontraktor.
Manikavasagam turut disiasat kerana didakwa menipu simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik beberapa orang kurang upaya.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut tetapi enggan mendedahkan butiran kes.
Berita penahanan ahli Parlimen itu mulai tersebar menerusi aplikasi WhatsApp semalam yang antara lain mengaitkannya dengan dakwaan rasuah.
Ia dikatakan berkaitan urusan pembinaan bagi membolehkan syarikat milik kontraktor tertentu mendapat tender baik pulih kemudahan awam bernilai hampir RM1 juta.