SUNGAI BESAR : Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malam tadi mengusik penjawat awam Selangor dengan bonus yang lebih lumayan.
Menurut Azmin, pemberian lumayan itu kerana penjawat awam telah menunjukkan kesatuan di bawah pentadbirannya.
Berucap di satu majlis di Masjid Ma’muniah di Sungai Nipah, Azmin bagaimanapun tidak mahu mengumumkan jumlah lumayan itu memandangkan keesokan hari merupakan hari pembuangan undi di Sungai Besar.
Azmin menjelaskan bonus kali ini akan lebih lumayan lantaran kekayaan negeri yang semakin bertambah tahun ini.
“Jika inilah kesatuan yang ditunjukkan, maka akan ada bonus raya yang lebih lumayan tahun ini. Saya tidak akan mengumumkan jumlahnya kerana saya tidak mahu mempengaruhi apa yang akan berlaku esok.
“Tahun ini, rizab kita bertambah daripada RM3.3 bilion kepada RM4.1 bilion. Jika ia berada di paras RM4.1 bilion, saya tidak boleh jawab (jumlah bayaran bonus).
“Tetapi, ia akan lebih lumayan berbanding sebelum ini. Sebelum ini satu bulan (bonus), jadi kali ini tidak boleh satu bulan,” katanya kepada lebih 500 hadirin yang hadir di majlis berbuka puasa, sehari sebelum pengundi Sungai Besar memilih wakil rakyat mereka yang baharu.
Ucapan Azmin malam tadi tidak menyentuh kempen pilihan raya malah calon Pakatan Harapan, Zahar Abdul Shukur tidak hadir di acara itu.
Calon PAS, Dr Abd Rani Osman bagaimanapun hadir bersama Presiden Parti Ikatan Malaysia Abdul Kadir Sheikh Fadzir namun kehadiran kedua mereka tidak diumumkan.
Azmin sempat membidas pengkritik yang menyoal ketidakhadirannya semasa kempen pilihan raya kecil dengan berkata beliau bukan ahli politik bermusim yang hanya menunjukkan diri semasa pilihan raya.
“Saya dan kumpulan saya bekerja tujuh hari seminggu, hampir 16 jam sehari untuk membina asas yang kuat di Selangor.
“Samada ada pilihan raya atau tidak, saya akan terus bekerja kerana ini merupakan tanggungjawab yang diberikan kepada saya,” kata Timbalan Presiden PKR itu.
Esok Azhar dan Rani akan berdepan cabaran sengit daripada calon BN, Budiman Mohd Zohdi.
Rekod Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi dengan 22,227 pengundi Melayu, 13,142 pengundi Cina, 820 pengundi India dan 98 pengundi daripada pelbagai kaum lain.