SUNGAI BESAR: Dentuman bunga api dari pejabat Umno di sini mengejutkan penduduk setempat yang hidup dalam suasana tenang dan aman hari ini.
Bunga api itu dikatakan adalah sebahagian daripada sambutan kemenangan oleh Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos untuk meraikan kemenangan calon BN, Budiman Mohd Zohdi yang belum pun diumumkan sebagai pemenang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Difahamkan, terdapat kira-kira 10 kotak bunga api diletakkan di hadapan pejabat Umno Sungai Besar.
Polis kemudiannya dikatakan telah merampas beberapa kotak bunga api yang belum dinyalakan itu serta menahan seorang ahli Umno untuk diambil keterangannya.
Jamal terlebih dahulu “mengisytiharkan” BN menang di kawasan Parlimen itu seawal 5.30 petang tadi menerusi aplikasi WhatsApp.
Ia disusuli pusingan pertama bunga api yang didakwa dinyalakan Jamal bersama petugasnya yang mengejutkan penduduk setempat kira-kira jam 6.20 petang tadi.
Kira-kira 20 minit kemudian, sebuah kereta polis tiba di pejabat parti itu dengan seorang anggota polis didakwa memarahi pemimpin-pemimpin BN yang mencetuskan gangguan di kawasan terbabit.
“Saya tak peduli jika dia ialah Datuk, undang-undang tetap undang-undang,” demikian kata anggota polis itu kepada mereka yang berada di sekitar lokasi terbabit.