Longgokan ubat beracun di tepi jalan bukan daripada fasiliti KKM

Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Longgokan ubat beracun yang terbiar di tepi jalan di kawasan Hutan Simpan Ulu Gombak, Selangor yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan semalam, bukan daripada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua fasiliti KKM melupuskan ubat-ubatan mengikut garis panduan yang ditetapkan iaitu melalui pihak Kualiti Alam Sdn Bhd atau perkhidmatan sokongan hospital, Radicare.

Beliau berkata, KKM sentiasa mengambil berat kesejahteraan rakyat dan memandang serius kejadian itu.

“Syarikat atau pemegang lesen ubat sentiasa diingatkan mematuhi garis panduan dan lunas undang-undang sedia ada yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan akhbar terbabit, isu longgokan ubat luput tarikh itu pernah dilaporkan pada 10 Disember 2015 dan pihak bertanggungjawab didapati tidak membuang sepenuhnya ribuan kotak ubat-ubatan tersebut.

Dr Noor Hisham berkata, susulan laporan terbaru semalam, KKM telah pergi ke lokasi tersebut bersama wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan penduduk Kampung Orang Asli Kampung Batu 16 Gombak.

“Hasil penemuan mendapati lokasi yang dilaporkan itu berlainan daripada lokasi asal longgokan ubat yang telah dilaporkan (oleh akhbar sama) pada 10 Disember 2015. Malah, longgokan ubat di lokasi lama telah dibersihkan,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, ubat-ubatan yang ditemui di kawasan tersebut merupakan ubat yang hampir sama dengan penemuan sebelumnya yang telah diambil tindakan oleh JAS.

“Syarikat ubat yang berkenaan telah mengambil langkah-langkah bagi memastikan perkara ini tidak berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh berkongsi maklumat jika terdapat penemuan seperti itu dengan menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-7841 3200 atau laman web moh.spab.gov.my atau berhubung terus dengan JAS.

Mengulas isu penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar dan beracun di pasaran, Dr Noor Hisham berkata, sejak 2014 hingga Mei 2016, KKM telah memeriksa 43,195 premis menjual ubat dan produk kesihatan menerusi 3,370 serbuan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM77.1 juta.

Di samping itu, aktiviti-aktiviti perlindungan pengguna seperti ceramah, pameran dan dialog juga diadakan bagi memperkasakan pengetahuan pengguna tentang ubat dan produk kesihatan di Malaysia.

“Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM akan meneruskan lagi pemantauan secara berterusan di premis tidak berlesen seperti toko-toko jamu dan kedai kecantikan,” katanya.

Menurutnya, aduan mengenai individu atau premis yang menjual ubat tidak berdaftar di pasaran atau dalam talian boleh dibuat kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-78413 200 atau laman web moh.spab.gov.my.

Dr Noor Hisham berkata, pengguna juga boleh menyemak status pendaftaran produk kesihatan di laman web www.pharmacy.gov.my atau www.bpfk.gov.my serta melalui laman Facebook Pilih Ubat Berdaftar.

– BERNAMA