Masjid Singapura lancar kempen jimat air wuduk

wudukSINGAPURA: Sebuah masjid di Singapura melancarkan projek #GreenUmmah bertujuan menggalakkan umat Islam mengurangkan pembaziran dan menjimatkan air sesuai dengan sunnah Rasulullah, ketika mengambil wuduk.

Sebagai permulaan, pihak pengurusan Masjid Mujahidin menerbitkan video bertajuk ‘Eco Wudhu’ yang menunjukkan cara bagaimana air boleh dijimatkan ketika mengambil wuduk.

Dalam video itu, umat Islam digalakkan membuka paip dengan air perlahan ketika mengambil wuduk, dan ia dilengkapi dengan maklumat mengenai cara Nabi Muhammad berwuduk.

Diriwayatkan oleh Anas, Nabi Muhammad mengambil wuduk dengan menggunakan hanya kira-kira setengah liter air.

Menerusi video itu, dikatakan jika umat Islam mengubah cara mengambil wuduk dengan mengikut sunah Nabi, sebanyak 50 liter air dapat dijimatkan dalam menunaikan solat lima waktu sehari semalam.

Ini bermakna, jika seorang dapat menjimatkan 50 liter air sehari, 1.6 bilion umat Islam dapat berjimat kira-kira 80 bilion liter air sehari di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataan Masjid Mujahidin berkata, usaha yang dilakukan itu mendapat sokongan masjid di Singapura.

“Alhamdulillah satu penerimaan yang sangat baik mengenai Projek #GreenUmmah yang dijalankan dengan sokongan semua masjid di Singapura di Pelancaran Kempen Sentuhan Ramadan di Masjid Al-Iman pada 29 Mei lalu,” katanya dipetik daripada Berita Harian Singapura.