PAS akui kerjasama pembangkang perlu, tapi tidak pasti bagaimana

tuan-ibrahim

PETALING JAYA: Dua hari selepas kekalahan pembangkang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, PAS mengakui perlunya suatu bentuk kerjasama seperti Pakatan Rakyat dalam usaha melawan Barisan Nasional (BN).

“Apakah formula sebelum 2008 boleh diterokai semula? Tidak pasti namun keperluannya ada bagi menilai dari pelbagai sudut,” Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu FMT hari ini.

Beliau diminta mengulas kemenangan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, mengalahkan PAS dan Pakatan Harapan yang diwakili Amanah dengan majoriti besar.

Tuan Ibrahim berkata sebarang bentuk kerjasama kali ini perlu berdasarkan dua prinsip.

“Prinsip utama yang boleh dipersetujui ialah satu lawan satu, dan jangan minta rakan kerjasama korbankan kerusi.

“Kedua, setiap parti mesti diberi kebebasan memperjuangkan prinsip parti secara demokrasi,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau bertegas tidak akan sesekali menggadaikan prinsip perjuangan PAS bagi mengekalkan hubungan dengan parti lain.

“Mereka yang tidak menghormati dan tidak boleh menerima prinsip PAS, mustahil diadakan kerjasama. Mereka yang menjadikan rasuah dan salahguna kuasa membuli rakyat juga termasuk dalam mereka yang bercanggah teruk prinsip PAS dan kerjasama politik tidak dapat dilakukan.

“Tiada parti yang sanggup bekerjasama sampai hilang prinsip dan jati parti, dan juga tiada parti yang sanggup bekerjasama dengan mereka yang mencuri kerusi parti,” katanya.

Pada PRU 2008 dan 2013, PAS, DAP dan PKR mengadakan persetujuan mengelak pertindihan kerusi.

Langkah itu membantu parti pembangkang menafikan BN majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.