Imigresen hanya ikut arahan halang Apek keluar negara

Datuk-Sakib-Kusmi-apek

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia hanya mengikut peraturan dan arahan untuk tidak membenarkan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat berlepas ke Brisbane pada 11 Jun lalu untuk mewakili pasukan negara pada siri perlawanan persahabatan di Kepulauan Oceania.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Sakib Kusmi berkata pihaknya tidak terlibat dalam mengarahkan penjaga gawang Harimau Malaysia dihalang ke luar negara kerana ia di bawah bidang kuasa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Sudah jelas dia (Khairul Fahmi) tidak bayar cukai pendapatan.

“Yang blok pun LHDN. Jabatan Imigresen hanya ikut peraturan dan arahan mahkamah,” katanya ringkas ketika dihubungi FMT, hari ini.

Setakat ini, cubaan FMT untuk menghubungi LHDN dan Khairul Fahmi atau lebih popular dengan nama Apek bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu itu masih belum berjaya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan Khairul Fahmi dikenakan sekatan imigresen di pintu keluar Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 11 Jun lalu.

Khairul Fahmi terpaksa ditinggalkan di tanah air untuk menyelesaikan urusan tunggakan cukai pendapatan tersebut dan tidak diturunkan untuk menentang Papua New Guinea.

Sewaktu ketiadaan Fahmi, posisi penjaga gol utama digalas Mohd Farhan Abu Bakar ketika Malaysia tewas 0-2 kepada Papua New Guinea, Jumaat lalu.

Khairul Fahmi masih dapat menyertai rakan sepasukan bagi menghadapi baki dua perlawanan persahabatan bertemu New Celedonia Rabu ini dan Fiji pada 26 Jun.

Bahkan, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed juga memaklumkan kebenaran untuk ke luar negara merupakan keistimewaan dan bukan hak bagi seseorang individu.

“Kuasa untuk membenarkan individu ke luar masuk dalam negara bawah pengarah imigresen dan dia juga yang keluarkan pasport. Ia keistimewaan dan bukan hak,” katanya.

Pada Mac, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan seramai 827,921 rakyat Malaysia dilarang ke luar negara kerana disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen atas pelbagai kesalahan sejak 2011.

Ia termasuk 200,727 disenaraihitamkan atas kesalahan bankrap dan 118,892 lagi kerana kesalahan melibatkan pinjaman pendidikan.