Kementerian kenal pasti ahli akademi, profesional kaji pedofilia

Datuk-Seri-Mahdzir-Khalid

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti ahli akademi dan profesional untuk membuat kajian serta menyediakan sukatan pelajaran bagi subjek pendidikan seks di sekolah dalam meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai jenayah pedofilia.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kajian berkenaan akan dibuat dalam masa terdekat sebaik sahaja barisan ahli akademi dan profesional itu mengadakan perbincangan dengan kementerian dan pihak lain.

“Kita mempunyai ahli akademi dan profesional yang mencukupi. Kajian itu penting bagi melihat dan menilai apa lagi yang tidak lengkap dan cukup dalam subjek pendidikan seks termasuk pendidikan awal kanak-kanak.

“Kajian ini dilakukan bersama-sama Kementerian Wanita, Pembangunan dan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Sebelum ini, Mahdzir dilaporkan berkata kerajaan bercadang memperkenalkan subjek pendidikan seks kepada kanak-kanak prasekolah untuk meningkatkan pengetahuan mereka dan kementerian akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti pakar kanak-kanak tentang kaedah pelaksanaan yang sesuai.

Negara digemparkan dengan isu pedofilia apabila warga British, Richard Huckle mengaku bersalah merogol 22 kanak-kanak miskin di Kuala Lumpur dan telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup baru-baru ini.

Mahdzir menarik perhatian, antara tindakan lain yang dibuat kementeriannya selain daripada kajian itu adalah dengan berdialog, sentiasa berkomunikasi dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan masyarakat selain kempen kesedaran yang berterusan mengenai jenayah pedofilia ini.

-BERNAMA