Langkah benarkan PATI balik raya dipuji

eric-paulsen

PETALING JAYA: Langkah Putrajaya memberikan pengampunan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) beragama Islam kembali ke kampung halaman mereka sempena sambutan Aidilfitri dipuji kumpulan hak asasi manusia.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen yang mengalu-alukan langkah itu berkata beliau lega Malaysia mengambil pendekatan kemanusiaan.

“Hakikatnya kita banyak bergantung pada pekerja asing, dan ini termasuk pekerja tanpa dokumen,” katanya dan menambah lebih baik jika semua PATI diberikan dokumen sah.

Beliau berkata pengampunan sangat baik kerana ia akan membantu memastikan keselamatan laluan untuk PATI, yang kalau tidak akan menggunakan cara haram untuk pulang ke kampung.

“Setiap hari, kita baca mengenai PATI naik bot haram untuk pulang dan ada yang maut apabila bot karam.”

Eric berkata pengampunan itu juga memberi peluang kepada PATI masuk semula ke negara ini menerusi saluran yang betul.

Katanya, bagi tempoh masa panjang pihak berkuasa perlu menjadikan ia dilaksanakan sebaik mungkin untuk perniagaan dan majikan untuk menggaji pekerja asing menerusi cara sah.

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata langkah itu bukan baru kerana ia menjadi amalan tahunan, tetapi tahun ini lebih baik kerana membenarkan PATI pulang ke kampung dengan cara selamat tanpa bimbang ditahan.

Katanya, pengampunan itu memberi peluang kepada majikan menghantar pekerja asing tanpa dokumen pulang menggunakan saluran betul dan seterunya mengambil mereka bekerja secara sah.

“Ia peluang untuk memudahkan semua pihak, langkah yang bagus.”

Glorene berkata dalam tempoh jangka panjang polisi yang lebih jelas dan komprehensif mengenai pengambilan pekerja dan penempatan serta penggajian pekerja asing perlu dibangunkan dan dilaksanakan.

Katanya, pihak berkuasa juga perlu membaiki kelemahan sedia ada dalam sistem, jika tidak isu PATI tidak akan selesai.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan rancangan pengampunan itu berdasarkan kepada elemen kemanusiaan.

Zahid berkata langkah itu diputuskan selepas perbincangan dengan kerajaan beberapa negara asal pekerja asing beragama Islam termasuk Indonesia, Bangladesh dan Kemboja.

Bagaimanapun, sebaik saja meninggalkan Malaysia, PATI hanya dibenarkan kembali dengan permit kerja yang sah.