Komuniti niaga Cina, Bumiputera bekerjasama, kongsi kekayaan – Najib

najibcina1

PETALING JAYA: Najib Tun Razak meminta komuniti perniagaan Cina dan Bumiputera untuk saling bekerjasama sebagai usaha bagi memperkukuh ekonomi negara dan perpaduan antara kaum.

Perdana Menteri berkata, umum tahu komuniti Cina bijak dalam menjana wang, namun untuk menarik kedatangan lebih banyak pelabur, negara perlukan sistem yang stabil serta harmoni dan hanya kerajaan BN sahaja dapat menjamin itu.

Beliau menambah konsep 1Malaysia boleh diterjemah dalam kerjasama ini dengan menyertai program perniagaan dan berkongsi kekayaan bersama-sama.

“Beritahu kami bagaimana kami dapat lakukannya dengan lebih baik lagi. Saya boleh beri jaminan kepada anda bahawa saya seorang pendengar yang baik. Saya tidak cakap banyak dan saya akan lakukan yang terbaik dalam apa yang saya lakukan. Mari bekerja bersama-sama. Saya percaya kita dapat lakukan lebih baik lagi dalam tahun-tahun mendatang, Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-70 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Kuantan, lapor Bernama.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Presiden ACCCIM Datuk Ter Liong Yap dan Presiden Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pahang Tan Sri Lim Sing.

Dalam pada itu, Najib juga tidak ketinggalan mengiktiraf sokongan masyarakat Cina kepada BN dalam pilihan raya negeri Sarawak Mei lepas dan dalam PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor serta Kuala Kangsar, Perak pada Sabtu lepas.

Katanya, kemenangan itu menunjukkan masyarakat Cina menyokong BN sebagai parti yang dapat menjamin perpaduan dalam kepelbagaian di Malaysia, kestabilan dan keharmonian yang amat penting untuk membolehkan perniagaan berkembang maju.

“Terdapat petanda positif dalam tahun-tahun kebelakangan ini bahawa rakyat mula sedar bahawa perpecahan politik tanpa objektif dasar yang jelas sedang berlaku dalam parti-parti pembangkang,” katanya.

Dalam ucapan yang sama juga, beliau menggesa sektor swasta agar mengurangkan pergantungan pekerja asing.

Sebaliknya menyarankan supaya ia digantikan dengan penggunaan inovasi dan teknologi dengan memberikan tumpuan dalam meningkatkan produktiviti di masa depan kerana kita perlu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Najib juga menegaskan kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap isu dan masalah dibangkitkan sektor swasta dan pemain industri bagi memastikan mereka menerima semua bantuan diperlukan untuk membangunkan perniagaan mereka.

“Dalam pertemuan sebelum ini dengan ACCCIM, anda ada sebut tentang kesulitan dari segi dokumentasi akta antipencatutan dan ini merupakan sesuatu yang kami boleh kaji. Adakalanya birokrasi boleh mengatasi perkara yang betul.

“Saya percaya sebagai sebuah kerajaan, kami perlu mempermudahkan untuk menjalankan perniagaan di negara ini dan undang-undang yang ada juga patut mempermudahkannya. Saya akan bangkitkan memorandum anda pada mesyuarat Kabinet akan datang.

“Diharapkan dengan saling bekerjasama, kita dapat memastikan perniagaan akan terus maju dan makmur di Malaysia,” katanya.