Pemandu teksi jangan bertindak ikut perasaan

Syed Hamid AlbarKUALA LUMPUR: Pemandu teksi tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.

Begitu tegas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar mengulas kejadian seorang pemandu Uber, yang membawa dua warganegara Iran, diserbu gerombolan pemandu teksi Isnin lepas.

Bercakap kepada pemberita di sebuah majlis berbuka puasa anjuran SPAD hari ini, Syed Hamid berkata SPAD sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah antara perkhidmatan supir peribadi dan pemandu teksi.

Beliau mengingatkan pemandu teksi jangan bertindak “ikut perasaan”.

“Kita akan menyerahkan cadangan penyamarataan lapangan untuk Uber, Grab dan perkhidmatan teksi. Mereka (pemandu teksi) tidak sepatutnya mengambil tindakan itu, terutamanya apabila melibatkan pelancong.

“Malaysia destinasi pelancong yang sangat popular; kita terkenal sebagai sebuah negara yang harmoni dan bersatu. Tindakan-tindakan seperti ini memburukkan nama kita,” katanya kepada pemberita.

Ditanya samada SPAD akan bertindak keatas pemandu teksi terbabit, Syed Hamid berkata SPAD tidak mahu membuat sebarang andaian.

“Tunggu dan lihat. Kita tunggu maklum balas daripada polis sebelum ambil sebarang tindakan.

“Samada menggantung pemandu, membatalkan lesen atau apa sahaja, kita tunggu maklum balas polis dahulu,” katanya.

Sementara itu, Syed Hamid menasihatkan Uber supaya tidak mengiklankan perkhidmatan secara besar-besaran bagi mengelakkan ketegangan berlarutan sebelum peraturan baharu ditetapkan.

“Politik atau bukan politik, jangan hebahkan perkhidmatan kamu.

“Sebelum cadangan diluluskan dan peraturan baharu ditetapkan, Uber dan Grab jangan tonjolkan diri. Mereka boleh guna perkhidmatan itu, kita tidak boleh halang; tetapi jangan hebahkan merata-rata,” tegas Syed Hamid.

Minggu lepas, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar menjadi pemandu Uber untuk sehari.

Isnin lalu, dua warganegara Iran memilih untuk menggunakan perkhidmatan Uber apabila segerombolan pemandu teksi, yang dilaporkan “menyorok” di KL Sentral, menyerbu mereka sebaik memasuki kereta supir.

Pasangan itu, dan pemandu Uber, ditarik keluar daripada kenderaan.