Pesuruhjaya SPRM: Tiada tekanan untuk letak jawatan

Abu-Kassim-Mohamed

PUTRAJAYA: Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohammad menegaskan beliau tidak diberi tekanan untuk melepaskan jawatannya.

Pada sidang akhbar hari ini, Abu Kassim juga mengumumkan Timbalan Ketua Operasi SPRM Datuk Shukri Abdull akan bersara pada 3 Oktober kerana mencapai umur persaraan wajib.

Abu Kassim berkata peletakan jawatannya berdasarkan kepada kerelaannya sendiri.

Sebelum ini, ada laporan media mendakwa Abu Kassim akan digantikan berikutan masalah kesihatan, tetapi beliau menafikan.

“Sudah banyak kali saya cakap saya tidak akan berhenti kerana tekanan daripada sesiapa,” katanya ketika ditanya sama ada beliau diberi tekanan supaya meletak jawatan.

“Ini jelas. Permintaan saya untuk meletakkan jawatan berdasarkan kepada kehendak saya sendiri,” katanya dan menambah ini permohonannya yang ketiga sepanjang enam tahun perkhidmatannya.

Abu Kassim berkata ini masa yang tepat baginya memendekkan kontrak yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018 kerana beliau menerima tawaran International Anti Corruption Academy (IACA) sebagai pakar jemputan di Universiti Pencegahan Rasuah pertama di dunia di Austria.

Katanya, ini peluang keemasan untuknya memberi sumbangan di peringkat antarabangsa, dan ia akan memberi faedah kepadanya dan negara.

“Pelantikan saya sebagai pakar jemputan ialah pengiktirafan kepada SPRM dan Malaysia kerana peranan saya di sana penting untuk pembangunan institusi itu dan programnya,” katanya.

Katanya, beliau akan turut memberi tumpuan kepada tugas beliau sebagai ahli lembaga di universiti berkenaan selain menunaikan tanggungjawab sebagai pensyarah, penyelidik serta memberi khidmat rundingan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Abu Kassim berkata beliau berpuas hati kerana sepanjang tempoh perkhidmatannya, banyak perubahan dibawa dalam SPRM, dan ia diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau juga berpuas hati dengan semua siasatan yang dibuat sepanjang perkhidmatannya selain mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memperkenankan permohonannya untuk meletak jawatan.

Berhubung persaraan Shukri, Abu kassim berkata beliau akan menghadiri kursus bermula akhir bulan ini hingga bersara, sebagai memenuhi amalan standard bagi semua penjawat awam yang akan bersara.

Abu Kassim dilantik sebagai pesuruhjaya SPRM pada 1 Januari 2010.

Awal hari ini, dilaporkan Abu Kassim akan menamatkan perkhidmatannya pada 1 Ogos.

Beliau akan terus berkhidmat sebagai pegawai perkhidmatan pencegahan rasuah sehingga persaraan wajib pada 6 Disember 2020.