Anti vaksinasi bukan terbatas di Malaysia

antvason

KUALA LUMPUR: Gerakan anti vaksinasi bukan sesuatu yang baru, dan bukan terhad kepada mereka yang memberikan alasan agama dan konspirasi.

Walaupun di Malaysia beberapa kelompok Islam yang lebih menonjol dan dipersalahkan kerana menyebarkan dakyah anti vaksin mereka, gerakan ini sebenarnya merupakan lobi yang kuat di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Barat lain.

Selebriti Hollywood seperti bekas Playmate, Jenny McCarthy, pelakon Jenna Elfman dan Jim Carrey, serta hos rancangan television berhaluan kanan yang terkenal dengan kenyataan anti Islamnya, Bill Maher, merupakan antara watak terkenal gerakan anti vaksin di AS.

Walaupun Jenny McCarthy kebelakangan ini menafikan dia menentang vaksinasi dan hanya memperjuangkan “vaksinasi selamat”, hakikatnya dia antara selebriti paling awal meminjam namanya kepada lobi anti vaksin yang semakin kuat.

Di AS, gerakan ini dipersalahkan atas penularan semula penyakit yang sebelum ini hampir pupus. Demam campak, misalnya, pernah dihapuskan sama sekali di negara itu, tetapi menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, sebanyak 667 kes campak direkodkan tahun lalu.

Kristian, Yahudi, Islam

Lobi anti vaksin biasanya tidak bersandarkan bukti saintifik mahupun perubatan, dan premis hujah mereka adalah ia tidak terbukti berkesan, tidak selamat, dan mencabuli hak individu membuat pilihan.

Daripada hujah tersebut, lahirlah pelbagai alasan lain termasuk yang menggunakan isu agama.

Ada kumpulan Kristian yang menganggap penyakit merupakan takdir Tuhan, dan berdosa sekiranya seseorang itu cuba mengubah apa yang sudah tertulis baginya melalui vaksinasi.

Disebabkan alasan agama ini, undang-undang kebanyakan negeri di AS memberi pengecualian kepada ibu bapa yang tidak mahu menerima suntikan imunisasi atas dasar agama.

Ada kumpulan Yahudi, seperti kelompok Ortodoks Haredi di Israel, yang terang-terang menentang vaksinasi.

Kebelakangan ini, beberapa kumpulan kecil Islam muncul mempersoalkan vaksinasi, malah ada yang menjaja teori konspirasi kononnya ia merupakan perancangan jahat Yahudi bagi mengawal jumlah umat Islam di masa depan dengan melemahkan zuriat mereka.

Namun kelompok anti vaksin yang menggunakan alasan agama merupakan minoriti di kalangan masyarakat mereka. Ulama Islam dan paderi besar Katolik di Vatican, misalnya, berkali-kali cuba menjelaskan vaksinasi merupakan sesuatu yang dituntut agama.

Kajian palsu anti vaksin 1998

Kontroversi anti vaksin timbul pada 1998, selepas Andrew Jeremy Wakefield, doktor pakar gastroenterologi dan pengkaji perubatan Britain, menerbitkan hasil kajiannya.

Beliau merumuskan vaksinasi MMR (yang bertujuan menghindari mumps, campak dan rubella) akan menyebabkan pelbagai kesan lain seperti autisme dan penyakit usus.

Berikutan itu, beberapa kajian susulan dilakukan saintis dan pakar perubatan, tetapi mereka gagal membuat rumusan sama. Malah, siasatan mendapati Andrew menerima dana yang menunjukkan konflik kepentingan.

Selepas siasatan dijalankan Majlis Perubatan Am Britain, Andrew didapati bersalah memalsukan fakta. Jurnal perubatan The Lancet yang menerbitkan hasil kajian beliau juga menarik balik sepenuhnya kertas kajian itu dan mengaku ia diperdaya Andrew.

Walaupun dituduh memalsukan hasil kajiannya dan lesennya dibatalkan, Andrew kini masih meneruskan gerakan anti vaksinasi, dan tahun lalu muncul pada demonstrasi di AS membantah undang-undang baru mewajibkan vaksinasi di California.

Rayuan ibu

Awal bulan ini, rayuan seorang ibu di Australia supaya ibu bapa mendapatkan suntikan vaksinasi untuk anak mereka, menjadi viral di media sosial.

Dalam postingnya, Kayley Burke memuatnaik gambar menunjukkan bayinyayang berusia 11 bulan, Elijah, dirawat dengan pelbagai jarum dicucuk di atas badannya, kerana dijangkiti penyakit cacar air.

Elijah yang terlalu muda mendapat imunisasi dipercayai mendapat jangkitan itu dari kanak-kanak lain yang tidak menerima imunisasi.

“Kalau anda tidak menjalani vaksinasi untuk anak anada, anda seorang yang bodoh (bloody idiot),” tulisnya dalam Facebook.

“Fikirkanlah risiko yang terpaksa dilalui kanak-kanak lain yang terlalu muda untuk mendapatkan vaksinasi atau tidak boleh menerima vaksinasi!”