MPM mahu Malaysia Airlines dedah butiran akaun

Abdul-Aziz-Abdul-Rahman

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini menggesa Malaysia Airlines mendedahkan dokumen butiran akaunnya kepada awam bagi membuktikan kesahihan keuntungan yang diraih pada suku pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas MPM bagi usaha ‘Selamatkan Malaysia Airlines’ yang juga bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, turut meragui keuntungan yang dicatatkan syarikat penerbangan nasional itu.

“Ia boleh dirujuk dalam pelbagai perkara…saya mahu melihat sendiri di mana mereka senaraikan liabiliti Malaysia Airlines sebanyak RM12 bilion serta (butiran) perbelanjaan bagi pakej pemberhentian pekerjanya?

“Kita semua mahu melihatnya terlebih dahulu dan orang ramai berhak (berbuat demikian) sebab ia membabitkan dana awam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan bahawa Malaysia Airlines mencatatkan keuntungan pada suku pertama tahun ini, didorong penurunan harga bahan api untuk pesawat.

Menurut Abdul Aziz, biarpun keuntungan menjadi keutamaan, namun aspek itu bukanlah perkara teras dalam perniagaan kerajaan berbanding tanggungjawab berkhidmat untuk masyarakat serta mewujudkan peluang pekerja untuk rakyat tempatan.

“Jika kerajaan mahu meraih untung, maka ia sepatutnya melabur RM6 bilion berkenaan dalam hartanah atau dana negara. Ini kerana (tugas) mengendalikan syarikat penerbangan itu bukannya mudah dan memerlukan masa untuk mencatat untung,” katanya.

Malah, tegasnya, MPM turut melihat penamatan 6,000 pekerjaan yang menjadi sebahagian pelan pemulihan syarikat penerbangan nasional itu sebagai satu pembaziran berbanding perbelanjaan besar kerajaan bagi mewujudkan barisan modal insan tempatan.

Katanya, Malaysia Airlines juga ternyata mencatat prestasi buruk sejak 15 tahun lepas dan kerajaan sewajarnya menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan khusus bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab di atas kerugian berkenaan.

Tegasnya, selain membolehkan suruhanjaya itu mengemukakan cadangan, ia juga dapat memastikan mereka yang melakukan salah laku pengurusan itu menerima hukuman sewajarnya.

Abdul Aziz yang juga seorang peguam, dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines pada 1982. Sewaktu bersara pada 1991, syarikat penerbangan berkenaan memiliki rizab tunai sebanyak RM5 bilion.

Dalam pada itu, MPM turut menggesa kerajaan melantik pemimpin baharu syarikat penerbangan dengan seberapa segera serta memilih calon dalam kalangan rakyat tempatan.

MPM akan turut menghantar surat rasmi kepada Khazanah Nasional Bhd yang juga pemegang saham tunggal syarikat penerbangan itu, pada minggu depan bagi menyuarakan kebimbangan mengenai pelan pemulihan drastik oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Christoph Mueller.

— BERNAMA