Pecat Mueller yang biadap, kata bekas bos MAS

Malaysia-Airlines-CEO-Abdul-Aziz-Abdul-RahmanKUALA LUMPUR: Kelantangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Berhad (MAB) Christoph Mueller mengkritik kakitangannya sebagai pemalas dan kaki tidur disebabkan kuasa eksekutif keterlaluan yang diberikan lembaga pengarah kepadanya.

“Sebagai warganegara, kita, terutamanya Bumiputera, sangat tersinggung dengan kenyataan biadab seorang CEO yang kebetulannya seorang pekerja asing yang dibayar gaji dan elaun berjuta ringgit oleh MAB,” kata bekas CEO Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) Abdul Aziz Abdul Rahman dalam sidang media hari ini.

Aziz, yang merupakan pengarah jawatankuasa khas bagi menyelamatkan MAS dalam Majlis Perundingan Melayu (MPM) mahu ahli lembaga pengarah MAB supaya memecat Mueller.

Jawatankuasanya turut menuntut perletakan jawatan ahli lembaga pengarah MAB.

Beliau menjelaskan kuasa keterlaluan yang diberikan Mueller membawa kepada penggajian 15 pekerja asing mengisi jawatan-jawatan penting dalam MAB, termasuk pengarah Sumber Manusia.

Aziz menambah Mueller tidak mengambil kepakaran tempatan dalam kumpulan pengurusan kanannya, seraya membuktikan beliau sebenarnya mempunyai rancangan untuk penggantinya apabila kontraknya tamat.

“Meletakkan rakyat Malaysia dalam syarikat berkaitan kerajaan penting kerana mereka mempunyai semangat untuk membangunkan negara, bukan sahaja untuk mengaut untung. Oleh kerana syarikat ini merupakan pertubuhan nasional, maka warganegara lebih berminat untuk memakmurkannya.”

Aziz turut membidas ahli lembaga pengarah MAB yang dilantik Khazanah Nasional Berhad.

“Jawatankuasa khas berpandangan sikap biadab Mueller dan kelantangannya lantaran ahli lembaga pengarah MAB terdiri daripada orang-orang yang tidak cekap, majoritinya mengepalai MAS sebelum ini dan dibawah kepimpinan mereka prestasi MAS merudum.”

Jawatankuasa khas juga menuntut ahli lembaga pengarah MAS supaya meneliti semula perlantikan pekerja asing dan memastikan setiap seorang daripada pekerja asing itu mendapatkan kelulusan wajib daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia.

Jawatankuasa itu akan menghantar surat bantahan kepada Khazanah minggu hadapan sekiranya ahli-ahli lembaga pengarah MAB enggan meletak jawatan.