Saya hormati keputusan berprinsip Cameron

cameroon

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berasa sedih dengan pemergian Perdana Menteri United Kingdom, tetapi menghormati keputusan berprinsip beliau meletak jawatan.

“Secara peribadi, saya mempunyai hubungan kerja yang baik dengan David Cameron,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi, “Saya menanti masa untuk bekerja dengan penggantinya.”

David Cameron hari ini mengumumkan akan meletak jawatan selepas tiga bulan ini, dan berkata United Kingdom memerlukan kepimpinan baharu untuk membawa UK kearah negara bebas Kesatuan Eropah (EU).

Pengumuman itu menyusuli keputusan bersejarah referendum pengundi UK meninggalkan EU atau Brexit. Keputusan itu menyaksikan matawang Pound jatuh 11% berbanding dolar Amerika Syarikat ke paras terendah sejak 31 tahun lalu.

“Masa depan tidak boleh diramalkan, walaupun tempoh turun naik pasaran kewangan boleh dijangkakan ketika dunia cuba memahamkan kesan daripada keputusan itu dan ketika jalan keluar UK daripada EU dirundingkan,” kata Najib.

Meskipun begitu, perdana menteri yakin Brexit tidak akan beri kesan besar kepada ekonomi negara.

“Pendedahan ekonomi negara kepada UK terhad, kerana ia bukan antara 10 rakan dagangan utama Malaysia dan hanya mewakili 1% daripada keseluruhan dagangan negara,” jelas Najib.

Pada 30 Julai tahun lalu, Cameron berkunjung ke negara ini dengan delegasi dagangan UK bagi meningkatkan dagangan antara dua negara. Memandangkan langkah Brexit diambil, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia mahu meneroka kemungkinan menjalin perjanjian dagangan bebas dengan UK.

“Masa-masa seperti ini cukup menduga UK. Namun, rakyat British ketahuilah kawan lama akan sentiasa bersama mereka, dikala mereka melakar bab baru dalam sejarah mereka,” kata Najib.