IKEA tarik balik 2 jenis cokelat yang boleh sebabkan alahan

choklad

PETALING JAYA: Akibat kandungan susu dan kacang hazel yang tidak diisytihar jelas, IKEA Malaysia terpaksa menarik balik dua jenis bar cokelat gelap iaitu Choklad Mork 60 peratus dan Choklad Mork 70 peratus.

“IKEA amat mengutamakan keselamatan dan penarikan balik ini melibatkan semua Tarikh Terbaik Sebelum (BBD) bagi Choklad Mork 60 peratus 100g dan Choklad Mork 70 peratus 100g.

“Catatan BBD itu boleh ditemui di sebelah belakang pembungkusan bar coklat berkenaan (tahun/bulan/tarikh),” IKEA Malaysia berkata dalam satu kenyataan hari ini.

“Individu yang alah kepada susu atau kacang hazel mungkin mengalami reaksi alahan jika memakan produk tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

Cokelat tersebut juga dikatakan boleh mengundang bahaya kepada nyawa mereka yang alah kepada susu dan kacang hazel.

Justeru, IKEA Malaysia mengalukan pelanggan supaya memulangkan semula produk-produk yang terlibat di Pasar Makanan Sweden di gedung-gedung IKEA untuk bayaran balik sepenuhnya.

“Kami memohon maaf bagi sebarang ketidakselesaan yang timbul,” katanya.
Selain di Malaysia, IKEA turut menarik produk cokelat yang sama di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat dan Kanada.

Menurut laporan South China Morning Post, penarikkan semula cokelat itu berlaku selepas seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun di Jepun mengalami reaksi alahan kepada Choklad Mork 60%.

Siasatan dalaman IKEA mendedahkan kandungan susu dan kacang hazel cukup tinggi untuk tindak balas.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Pelanggan IKEA pada talian 03-7952 7575.