Kafir harbi: Mufti akui sasar DAP, enggan minta maaf

Pahang-Mufti-Ahmad-Rahman-Othman-2

KUALA LUMPUR: Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman bertegas tidak akan menarik balik kenyataannya yang menyeru memerangi golongan yang digelarnya “kafir harbi” kerana menentang Islam.

“Saya tidak akan meminta maaf dan menarik balik apa yang saya katakan ini. Apa yang saya cakap itu bukan khusus kepada DAP sahaja, kepada semua yang menentang Islam,” kata Abdul Rahman dipetik Bernama semalam.

“Asas yang saya bagi tahu kepada akhbar itu (Utusan Online) dalam bentuk semua, namun kalau mereka kata (tulis) DAP pun tidak salah, sesiapa pun yang menentang Islam jika mereka tulis tidak salah.”

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan Abdul Rahman mengecam DAP sebagai “kafir harbi” kerana membantah RUU Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016.

RUU itu dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mei lalu, dalam usaha yang dilihat membuka jalan bagi kerajaan Kelantan memperkenalkan hukum hudud dalam enakmen Syariah negeri.

DAP dan beberapa parti komponen Barisan Nasional sebelum ini menyuarakan tentangan terhadap sebarang usaha memperkenalkan hudud.

Kenyataan mufti itu mengundang kecaman dari pelbagai pihak, termasuk Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga merupakan pesuruhjaya PAS Pahang.

“Sekarang orang kafir di Malaysia, mereka adalah rakyat. Dia ada hak ke atas negara, ada hak atas harta, ada hak jadi pengundi jadi tentera, maka apabila mereka ada hak kebersamaan dalam negara, automatik mereka bukan kafir harbi,” kata Tuan Ibrahim.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Abdul Rahman menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada parti itu.

Sementara ahli Parlimen DAP Gobind Singh Deo mencabar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan mufti itu.

“Kami tidak anti Islam. Kami ada penyokong, ahli dan wakil rakyat beragama Islam. Kami memegang Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan Islam ialah agama rasmi Malaysia,” kata Gobind.