Letupan bom di Puchong bukan serangan pengganas

movida-1

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar menafikan letupan bom di sebuah pub di Puchong, awal pagi tadi ada kaitan dengan serangan pengganas.

“Kita akan menyiasat sama ada ia bermotifkan musuh perniagaan, dendam atau mangsa merupakan sasaran orang yang melakukan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Letupan itu yang dipercayai berpunca daripada bom tangan berlaku kira-kira jam 2.15 pagi ketika pengunjung premis hiburan itu sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2016.

Akibat letupan itu, empat lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga China cedera.

Abdul Rahim berkata, lima daripada mangsa cedera dihantar ke Hospital Serdang manakala tiga lagi dihantar ke Hospital Sunway.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sementara itu, kejutan ulang tahun perkahwinan kedua buat seorang wanita berakhir dengan tragedi apabila beliau bersama suami serta enam yang lain cedera dalam letupan bom itu.

Bavani bersama suaminya, S Jaiseelan yang kedua-duanya berusia 32 tahun kini dirawat di sebuah hospital swasta akibat cedera parah.

Adik lelaki Jaiseelan, S Kavilan berkata, abangnya dimasukkan ke Unit Dependensi Tinggi hospital itu akibat cedera parah di bahagian leher dan kakinya, manakala kakak iparnya akan dibedah petang ini selepas satu daripada pergelangan tangannya retak.

“Saya bersama abang dan kakak ipar semalam sebab abang ajak saya sambut ulang tahun mereka, tetapi saya pulang awal.

“Abang saya berhasrat buat kejutan untuk isterinya dan pub ini adalah tempat isterinya mahu pergi. Jadi, semalam buat kali pertamanya mereka mengunjungi pub ini…tak sangka jadi begini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kavilan, 27, berkata beliau dan abangnya yang bekerja sebagai pemandu peribadi serta kakak iparnya berada di premis hiburan itu sejak 12 malam tadi sebelum beliau meninggalkan premis itu sekitar 30 minit sebelum kejadian.

“Abang saya baru sahaja menjalani prosedur angiogram bagi rawatan jantungnya. Beliau mengambil ubat cairkan darah, jadi bila badannya luka, darah susah berhenti…sebab itu keadaannya teruk sedikit.

“Sepatutnya, hari ini abang ada temu janji susulan dia dengan doktor,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa lelaki yang enggan dikenali berkata, ketika letupan itu berlaku boleh dikatakan kira-kira 15 pengunjung yang berada di premis itu terpelanting.

“Telinga saya pun pekak sekejap. Lepas beberapa jam baru saya okey. Dua kawan saya cedera ringan dan sudah dapatkan rawatan,” katanya yang berada di premis itu bersama empat rakan semasa kejadian itu.

Kereta miliknya yang diparkir kira-kira 30 meter dari premis itu turut rosak dengan cermin tingkap di bahagian pemandu pecah.

Bagaimanapun katanya, beliau dan rakan-rakannya tidak nampak kelibat suspek.

BERNAMA