Mufti Pahang: Tetap fatwa walau tidak diwarta

pahang--mufti

PETALING JAYA: Mufti Pahang menegaskan tidak salah dalam hal “kafir harbi” dan mempertahankan kesahan fatwa yang dikeluarkan selaku mufti.

Bercakap kepada FMT, Datuk Seri Abdul Rahman Osman membalas kenyataan peguam Syahredzan Johan yang mengatakan fatwa perlu diwartakan supaya menjadi rasmi dan Rahman boleh didakwa dibawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan itu.

Seksyen 40 menyebut mufti tidak boleh dipanggil ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah untuk memberi pandangan atau bukti berkenaan undang-undang Islam.

Seksyen 505 pula menyebut kenyataan yang boleh menghasut golongan masyarakat supaya melakukan kesalahan terhadap golongan masyarakat lain boleh dihukum sehingga dua tahun pemenjaraan.

Abdul Rahman berkata sebagai seorang mufti, fatwa yang dia keluarkan tetap fatwa, samada ia sudah atau belum diwartakan.

“Fatwa tetap fatwa, tanpa mempedulikan diwartakan atau tidak.

“Bezanya kalau tidak diwarta, ia tidak boleh dikuatkuasakan.”

Maka, katanya, dirinya dilindungi dibawah Seksyen 40 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Pahang) 1991.

Mengulas kenyataan Syahredzan bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu merupakan kesalahan dibawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Abdul Rahman percaya kenyataannya tidak melanggar mana-mana undang-undang.

“Menurut Al Quran dan hadis, bukan Muslim yang menentang Islam dianggap kafir harbi. Saya tidak label semua bukan Muslim sebagai kafir harbi,” jawabnya.

Beliau berkata bukan muslim yang menentang Rang Undang-undang (RUU) mengangkat status mahkamah syariah menunjukkan pemikiran kafir harbi.

Beliau menambah itu tidak bermakna semua ahli DAP atau bukan Muslim kafir harbi, sebaliknya hanya bukan muslim yang menentang RUU itu.

Abdul Rahman juga menegaskan tidak pernah menyeru mana-mana orang supaya berperang.

“Saya cuma katakan muslim tidak patut bekerjasama dengan bukan muslim yang secara khusus menentang Islam,” katanya, dan menegaskan beliau berbicara mengenai isu itu daripada konteks agama.