Penyokong IS dakwa letupan Puchong balasan tak hormat Ramadan

movida_bom_isis_6001

PETALING JAYA: Seorang individu yang mendakwa dirinya anggota IS mengakui letupan bom di sebuah pub di Puchong, awal pagi tadi adalah angkara IS.

Sin Chew Daily melaporkan polis daripada Bahagian Counter Terrorism dan Jabatan Siasatan Jenayah sedang menjalankan siasatan, termasuk daripada sudut serangan pengganas.

Menurut laporan akhbar berbahasa Cina itu, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi (menggunakan nama Abu Hamzah Al-fateh di Facebook) yang merupakan anggota IS dan kini berada di Syria memuat naik status di Facebook mendakwa serangan itu dilakukan dua anggota IS atau Junud Khilafah Wilayah Malizia.

Letupan itu adalah hukuman buat mereka yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjalankan aktiviti maksiat.

“Selepas bertawakal dan memohon pertolongan daripada ALLAH S.W.T dua orang junud khilafah wilayah malizia telah melancar serangan berbarakah pertama di jantung ibu negara malaysia iaitu kuala lumpur dengan menarget sebuah kelab malam yang dipenuhi kafir harbi dengan sebuah grenade..serangan itu mengakibatkan sejumlah daripada mereka tercedera dan merosakkan kelab malam tersebut yang tidak menghormati bulan ramadhan dengan menjalankan aktiviti maksiat..umat islam diminta agar menjauhi pusat-pusat maksiat atau menjadi ansar thoghut agar kalian tidak menjadi target..tinggalkan pekerjaan sebagai ansar thoghut dan bertaubatlah kepada ALLAH S.W.T,” demikian status yang dimuat naik ke Facebook.

Muhamad Wanndy, 26, adalah rakyat Malaysia berasal dari Durian Tunggal, Melaka yang muncul dalam rakaman video dimuat naik ke laman Facebook Abu Hamzah Al-Fateh pada 22 Februari 2015, di mana seorang rakyat Syria disembelih di kem tahanan Raqqa, Syria kerana didakwa menjadi pengintip rejim tentera Presiden Bashar al Assad.

Pagi tadi, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar menafikan letupan bom di Puchong itu ada kaitan dengan serangan pengganas.

“Kita akan menyiasat sama ada ia bermotifkan musuh perniagaan, dendam atau mangsa merupakan sasaran orang yang melakukan kejadian itu,” kata Abdul Rahim.

Letupan yang dipercayai berpunca daripada bom tangan itu berlaku kira-kira jam 2.15 pagi ketika pengunjung premis hiburan berkenaan sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2016 menyebabkan empat lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga China cedera.