Telefon pintar galak bahan lucah di kalangan remaja

nude-1

PETALING JAYA: Satu kajian menunjukkan remaja Malaysia sangat aktif secara seksual menyebabkan mereka sukar mengawal dan kesannya menjadi bahan pornografi.

Pensyarah Psikologi UKM, Professor Hilwa Abdullah berkata keadaan ini ditambah dengan
gaya hidup pada masa kini di mana remaja muda termasuk kanak-kanak sudah diberikan telefon pintar.

“Kebanyakan kanak-kanak memiliki telefon pintar dan ia bukan satu gabungan yang bijak. ”

“Mereka mudah tergerak untuk ‘google’ tentang perubahan tubuh badan, tetapi ada yang mengambil langkah seterusnya dengan meneroka antara satu sama lain. Mereka menghantar gambar tubuh badan kepada teman lelaki atau teman wanita mereka atau mengambil video diri mereka.”

“Ramai yang tidak sedar kesan berkongsi gambar atau video menggunakan rangkaian sosial seperti Whatsapp ini,” katanya menekankan bagaimana ia boleh mengundang kepada jenayah pronografi di negara ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan berita baru-baru ini yang menyatakan rakyat Malaysia sebagai berada di kedudukan teratas di Asia dan ketiga dalam dunia yang memiliki bahan pornografi kanak-kanak.
Pendedahan itu dibuat di forum anjuran R.AGE, seksyen gaya hidup belia akhbar The Star; NGO, Unicef dan syarikat telekomunikasi Digi.

Ekoran itu, Hilwa menyarankan supaya pendidikan seks diajar di peringkat sekolah malah ia seharusnya dididik sewaktu kanak-kanak berusia lima tahun lagi.

“Subjek ini perlu dibincangkan di sekolah. Anak-anak perlu diberitahu tentang perubahan yang dialami diri pada usia 13 tahun semasa mereka masih berusia 10 tahun.

“Mereka perlu tahu tentang pembiakan seks dan perubahan tubuh badan. Mereka perlu tahu tentang dunia siber dan kesannya,” katanya.

Hilwa juga menasihati ibu bapa supaya turut bercakap mengenainya kepada anak-anak mereka dan memberikan fakta sebenar tentang seks dan kesannya.

Ketika ditanya tentang keadaan di kawasan luar bandar, Hilwa akui ia bukanlah lebih baik.

“Saya pernah kaunseling ramai ibu bapa dan remaja. Mereka bertindak menghantar anak perempuan berusia 14 tahun mereka di atas basikal dengan anak jiran berusia 16 tahun. Pada usia ini, mereka aktif secara seksual.

“Mana-mana kemalangan kecil, sentuhan tidak sengaja boleh mencetuskan niat yang tidak diingini. Terdapat banyak kes seperti itu,” jelasnya.

Justeru, Hilwa menekankan, kunci untuk mengurangkan pornografi kanak-kanak adalah melalui pendidikan dan kesedaran.

“Sudah tiba masanya untuk kanak-kanak mengetahui fakta sebenar tentang seks supaya mereka lebih bersedia menghadapi perubahan di dalam badan. Mereka juga perlu tahu apa yang betul dan apa yang salah.”