Mufti Pahang disiasat Akta Hasutan

IGPAbdul-Rahman-Osman-1

KUALA LUMPUR: Walaupun mufti, Datuk Seri Abdul Rahman Osman kini disiasat polis di bawah Akta Hasutan ekoran kenyataan kafir harbi yang mendapat liputan meluas media.

Memandangkan sensitiviti isu yang disiasat ini, Ketua Polis Negara meminta kerjasama orang ramai supaya tidak mengaitkan kenyataan atau fatwa Mufti Pahang itu kepada ugutan pengganas IS.

“Kita buka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan. Polis juga menerima dua laporan polis, satu di Pulau Pinang dan satu di Dang Wangi (Kuala Lumpur).

“Jika cukup keterangan kita akan serahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diambil tindakan lanjut,” kata Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam sidang media di Menara Celcom hari ini.

Semalam, Abdul Rahman bertegas tidak akan menarik balik kenyataannya yang mengingatkan orang Islam supaya tidak bekerjasama dengan golongan yang menunjukkan pemikiran kafir harbi seperti menentang rang undang-undang pemerkasaan mahkamah syariah.

“Menurut Al Quran dan hadis, bukan Muslim yang menentang Islam dianggap kafir harbi. Saya tidak label semua bukan Muslim sebagai kafir harbi,” jawab Mufti Pahang itu.

Istilah kafir harbi mengundang reaksi negatif daripada pelbagai pihak kerana ia dikaitkan dengan peperangan. Kebetulan kenyataan Mufti Pahang ini terbit selepas IS mengeluarkan amaran akan menggunakan apa juga cara untuk “membunuh” golongan taghut (musuh Allah).

Abdul Rahman menegaskan tidak pernah menyeru mana-mana orang supaya berperang.

Sementara itu, Khalid mengesali kenyataan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia (CCM) Hermen Shastri yang terkejut tiada tindakan diambil walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan negara tidak akan bertolak ansur dengan ekstremisme.

“Jangan tuduh saya yang tindakan tidak akan diambil. Jangan buat fitnah. Jangan buat cerita yang tidak betul. Kita sedang menyiasat kes itu, jika ada kesalahan sudah pasti tindakan akan diambil,” katanya.