P. Pinang pertimbang tindakan undang-undang terhadap mufti

Abdul-Malik-Abul-Kassim

GEORGE TOWN: Pulau Pinang mempertimbangkan “tindakan undang-undang” terhadap Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman berhubung kenyataan kafir harbi, menurut Exco Abdul Malik Abul Kassim.

Exco Hal Ehwal Agama Islam berkata kenyataan berbaur hasutan itu perlu ditarik balik dengan segera supaya ia tidak menjejaskan hubungan harmoni antara kaum.

“Kenyataan itu dibuat atas kapasiti peribadi yang bukan berdasarkan kepada fatwa dan undang-undang Islam, maka beliau perlu memohon maaf secara terbuka.

“Kerajaan negeri akan pertimbangkan tindakan susulan, sekiranya Rahman tetap dengan kenyataan itu, yang terpesong daripada dakwah Islam.”

“Beliau telah menanam kebencian kaum dan agama di negara ini,” kata Malik dalam satu sidang media di Komtar hari ini.

Ketika diminta menjelaskan tindakan udnang-undang yang akan dipertimbangkan itu, Malik enggan mengulas lanjut.

Minggu lalu, Rahman mencetuskan kontroversi kerana mencegah kerjasama dengan DAP atau mana-mana orang bukan Islam, yang menunjukkan pemikiran kafir harbi – istilah yang sering diterjemahkan sebagai orang kafir yang diperangi – dengan menentang rang undang-undang pemerkasaan Mahkamah Syariah.

Malik menyifatkan kenyataan Rahman sebagai tidak bertanggungjawab daripada seorang mufti.

“Kenyataannya mengaibkan Islam dan terpesong daripada Islam Rahmatul Lil Alamin (Islam Rahmat Seluruh Alam).

“Kebanyakan mufti merasakan bukan Islam sebagai kafir zimmi (kafir yang diberi perlindungan dan hak), bukan kafir harbi seperti yang didakwa Rahman,” kata Malik.