Penganjur tidak paksa cium ‘barang nabi’ secara berlebihan

Lantunan-Mahabah-Rasullullah

PETALING JAYA: Penganjur program ‘Lantunan Mahabah Rasullullah’ di Alor Setar menafikan dakwaan yang program itu mendapat tentangan Mufti Kedah Datuk Syeih Muhamad Baderudin Ahmad.

Sebaliknya, salah seorang penganjur yang hanya ingin dikenali sebagai Ustaz Nizam berkata penganjuran itu mendapat persetujuan mufti Kedah sebelum ia diadakan.

“Kita akui mufti Kedah mengeluarkan kenyataan berhubung program yang kami jalankan. Tetapi teguran mufti itu untuk semua pihak dan mengingatkan umat Islam agar tidak berlebihan dalam mencium ‘barangan nabi’ dan kesahihan barangan itu mestilah jelas.

“Dalam program itu juga kita tidak paksa pengunjung mencium secara berlebihan. Tujuan kita mengadakan program itu untuk memperingati barangan peninggalan nabi dan tidak lebih daripada itu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai program ‘Lantunan Mahabbah Rasulullah’ di Alor Setar, Jumaat lalu di mana beberapa artifak yang didakwa milik Nabi Muhammad dipamerkan termasuk bekas tapak kaki dan rambut baginda.

Program itu anjuran bersama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan penerbit Al-Quran, Yayasan Restu.

Bagaimanapun, Ustaz Nizam mengakui penganjuran program itu hanya mendapat kelulusan daripada MBAS dan mendapat kerjasama Yayasan Restu untuk membawa barangan artifak itu di Alor Setar.

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai kesahihan barangan itu kerana pihak yang meluluskan untuk membawa barangan itu ialah Yayasan Restu.

“Kita hanya menganjurkan program itu selepas mendapat persetujuan Yayasan Restu untuk membawa barangan itu.

“Untuk mendapatkan kesahihannya, lebih baik tanya kepada Yayasan Restu sendiri. Saya enggan ulas lebih lanjut kerana takut timbulnya fitnah,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Mufti Negeri Kedah menafikan penglibatannya dalam penganjuran program itu di Alor Setar.

Jabatan itu juga menegur umat Islam supaya tidak bertabaruk, atau mengambil berkat dengan berlebih-lebihan seperti mencium dan menjunjung athar, iaitu peninggalan baginda, kerana ia mendorong kepada khurafat dan syirik.

Perkara itu turut dipersetujui Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang berkata perbuatan mencium atau menjunjung objek didakwa barangan peninggalan Rasulullah boleh menyebabkan kepada perbuatan menyekutukan Allah.

Katanya, umat Islam tidak seharusnya bertabaruk dengan peninggalan Rasullullah kerana barangan itu belum dapat ditentukan kesahihannya.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata acara seumpama itu dibolehkan dengan syarat artifak tersebut dapat dibuktikan kesahihannya oleh sejarawan.

FMT masih berusaha untuk mendapatkan reaksi Yayasan Restu.