Umno lapor bakar perlembagaan parti kepada polis

Datuk-Mat-Nadzari-Ahmad-Dahlan

KUALA LUMPUR: Tindakan Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) membakar buku perlembagaan parti sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa sebagai amaran kepada ahli-ahli yang berhasrat untuk menjejaki langkah mereka.

Wakil Biro Perlembagaan Umno, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata laporan polis itu sebagai peringatan kepada pihak terbabit supaya tidak mengulangi perbuatan yang dianggap biadap dan berniat jahat.

“Buku Umno ini adalah sebuah nashkah yang jadi rujukan kami begitu lama, jadi kita tak mahu ahli kita di luar sana sewenang-wenangnya mencemarkan keluhuran dan perlembagaan Umno.

“Dasar kami semuanya dalam ini. Kami tak boleh biarkan mereka suka hati calarkan imej dengan tindakan seperti ini,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Awal minggu ini, sekumpulan ahli Umno yang dipimpin Timbalan Pengerusi GKCM, Rushdan Mohamed membakar buku perlembagaan Umno selepas majlis tertinggi parti itu mengambil keputusan memecat Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin dan Mukhriz yang lantang mengkritik Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berhubung kontroversi 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion dipecat atas alasan melanggar displin parti. Turut dikenakan hukuman adalah Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal yang digantung keahliannya.

GKCM berpendirian pemecatan itu tidak mematuhi perlembagaan parti, maka mereka bertindak membakarnya Isnin lalu.

“Kita akan menunggu siasatan yang dijalankan pihak polis terlebih dahulu, baru kita akan pertimbangkan sama ada perlu atau tidak kita bawa isu ini ke Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi,” kata Nadzari.