Pengguna Facebook hantar mesej lucah kepada budak 10 tahun

paedophileSEREMBAN: Polis mengesahkan satu laporan berkaitan aktiviti gangguan seksual oleh pedofilia ke atas kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dibuat semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Zaldino Zaludin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut fakta kes, dalam kejadian jam 6.30 petang Isnin lalu, pengadu yang berada di kediamannya di Nilai dimaklumkan anak lelakinya terdapat seorang lelaki Melayu yang dikenali di laman sosial Facebook menghantar mesej berbaur lucah.

Bagaimanapun pada Selasa, pengadu itu menghubungi lelaki berkenaan menerusi aplikasi Facebook Mesengger untuk mengetahui niat suspek terhadap anaknya dan suspek bertindak menyekat ibu mangsa di laman media sosial itu selepas mengetahui tujuannya.

Zaldino berkata, siasatan awal mendapati perkenalan suspek dan mangsa bermula Februari lalu menerusi Messenger.

Katanya, perbualan suspek dengan anak pengadu sebelum ini adalah biasa, namun ia berubah sejak tiga hari kebelakangan ini apabila suspek mula menghantar mesej berbaur lucah.

“Selain itu, suspek juga mengajak mangsa berjumpa dan memancing mangsa dengan menawarkan PSP (PlayStation Portable) agar mangsa tidak bosan di rumah.

“Selepas mangsa memberitahu mesej berkenaan kepada pengadu, pengadu membuat panggilan melalui Facebook Messenger namun gagal.

“Selepas itu, pengadu memberi amaran kepada suspek agar tidak mengganggu anaknya lagi, akaun sosial pengadu dan suami bagaimanapun disekat (blocked) suspek pada Selasa lepas,” katanya.

Beliau berkata, pengadu juga dimaklumkan penutupan akaun facebook suspek yang menggunakan nama ‘Aiman Fauzi’.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan 292 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA