2 pemandu teksi didenda rosakkan kereta Grab

GrabKUALA LUMPUR: Dua pemandu teksi didenda RM2,000 masing-masing selepas mengaku bersalah merosakkan sebuah kereta Grab pada Selasa lalu.

Majistret, Adiran Adnan menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Khairul Izwan Alias dan Mohamad Halim Sabri yang mengaku bersalah merosakkan kereta milik pemandu Grab, N Sashi Kumar pada awal pagi Selasa lalu di pusat beli-belah Mid Valley.

Khairul ketika merayu hukuman diringankan berkata, dia tiada niat merosakkan kereta Sashi, sebaliknya tindakan itu dikuasai kemarahan.

“Masa itu saya rasa GrabCar dan Uber adalah haram. Saya mahu berbuat sesuatu tentangnya,” katanya sambil menambah ramai yang turut serta merosakkan kereta Sashi.

Sementara itu, Halim meminta majistret menjatuhkan hukuman denda bagi menggantikan penjara.

“Saya harap mahkamah jatuhkan hukuman denda kepada saya kerana mahu beraya bersama keluarga,” katanya sambil menangis.

Menurut laporan polis Sashi, kejadian itu berlaku pada jam 2 pagi Selasa lalu ketika beliau mengambil dua penumpang di pintu North Court pusat beli-belah Mid Valley.

Pemandu Grab berusia 35 tahun itu diserang beberapa pemandu teksi yang berang kerana didakwa menceroboh kawasan mereka.

Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh menegaskan serangan terhadap pemandu Grab itu tidak berunsurkan perkauman, sebaliknya pertelingkahan antara pemandu teksi dan pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan.