75% pengguna Malaysia pilih Uber, bukan teksi

syed-hamid_uber_gradcar_6001KUALA LUMPUR: Kajian terkini Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) mendapati 75% pengguna negara ini memilih perkhidmatan Uber berbanding teksi.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata kaji selidik yang dijalankan secara dalam talian itu melibatkan 45,000 pengguna dan lebih separuh daripadanya memilih perkhidmatan Uber.

“Sebanyak 75% daripada responden dalam kaji selidik itu memilih Uber. Setakat ini itulah realiti sebenar,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kertas kerja untuk membenarkan Uber dan Grabcar beroperasi seperti teksi akan siap sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.

Syed Hamid berkata setakat ini pihaknya sedang meneliti dan membuat beberapa perubahan sebelum ia dibawa dan bincangkan di peringkat Kabinet.

“Setakat ini kita sedang menunggu (kertas kerja siap dikemas kini sepenuhnya), selepas itu kita akan bentang ke Kabinet sebelum penghujung tahun ini.

“Kita sudah selesai membuat kertas kerja dan selepas itu kami akan hantar pada semua agensi dan kementerian terlibat termasuklah Jabatan Peguam Negara dan akan menunggu maklum balas mereka,” katanya.

Sebelum ini, SPAD berkata panduan bagi menyelaraskan perkhidmatan teksi, Uber dan Grabcar perlu diwujudkan segera bagi mewujudkan keseimbangan dan persaingan sihat di antara pengendali servis berkenaan.

Katanya, garis panduan itu penting bagi pihaknya menyelesaikan isu pergaduhan teksi dan Uber ini dengan kadar segera dan kita juga tidak boleh mengetepikan permintaan pengguna yang suka perkhidmatan Uber ini.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai insiden serangan pemandu teksi terhadap Uber Selasa lalu, Syed Hamid berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Pemandu teksi dan Uber tidak boleh ambil tindakan sendiri di luar undang-undang,” katanya.