Anggota IS asal Kedah terbunuh di Iraq

PETALING JAYA: Seorang pengganas IS warga Malaysia yang berhasrat untuk menyerang negara terbunuh dalam satu serangan udara di Iraq.

Bercakap kepada FMT, Pengarah Bahagian Antipengganas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Mohd Syam Hashim, berasal dari Kedah, terbunuh dalam serangan udara tentera Bersekutu yang dipimpin Amerika Syarikat di daerah Bayji pada Ahad.

Allahyarham yang berusia 37 tahun itu meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan.

“Dipercayai telah pergi ke Syria untuk menyertai kumpulan IS pada 16 Sep 2014 bersama empat lagi rakyat Malaysia,” kata Ayob.

Beliau menambah Allahyarham, yang dikenali sebagai Abu Syamil apabila menyertai IS, menjalin hubungan dengan beberapa rakyat Malaysia melalui Facebook dalam usaha menarik mereka menyertainya.

“Sabjek pernah berhasrat untuk mencari syahid di Malaysia sekiranya Malaysia menjadi tapak peperangan dan huru-hara.”

Beliau antara 20 rakyat Malaysia yang dikenalpasti terbunuh di Syria dan Iraq.

“Tujuh orang terbunuh sebagai pengebom berani mati manakala 13 orang terbunuh dalam beberapa siri pertempuran dan serangan,” kata Ayob.

Jumaat lepas satu video disebarkan oleh kumpulan pengganas itu dan memaparkan pengganas IS warga Malaysia pertama di Syria yang mengancam untuk memastikan Bukit Aman tidak lagi aman.

Dalam video propaganda itu, tiga pengganas IS iaitu Mohd Rafi Udin dari Negeri Sembilan, seorang warga Filipina dan seorang warga Indonesia mengajak penyokong IS di tiga negara supaya melakukan serangan di negara masing-masing.

Ayob dilaporkan berkata polis bersiap sedia menghadapi sebarang potensi ancaman dalam masa enam bulan daripada Khatibah Nusantara dan IS.