Cucuk sarang IS: Khalid enggan komen

igp.isPETALING JAYA: Pihak polis mempunyai cara dan pandangan tersendiri dalam menangani kumpulan pengganas IS, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau mengulas kenyataan seorang pengkaji keganasan seperti dilaporkan FMT hari ini, yang bimbang cabaran Khalid kepada pejuang IS supaya pulang ke tanah air, boleh membangkitkan provokasi.

“Kita hormati pandangan dia tetapi kami ada pandangan kami,” katanya ringkas menerusi Whatsapp kepada FMT, hari ini.

Pensyarah kajian jenayah di Universiti Help, R Paneir Selvam, berkata pihak berkuasa perlu mengelak mengeluarkan kenyataan cuai, dan memberi contoh kenyataan Khalid yang mencabar anggota IS warga Malaysia di luar negara supaya pulang sekiranya berani.

“Ancaman kumpulan pengganas, terutamanya IS, tidak boleh diambil ringan. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai matlamat mereka,” kata Paneir yang merupakan pengerusi Persatuan Penyelidik Dasar dan Undang-Undang.

Ia susulan ugutan dari tiga pejuang IS warga Malaysia di Syria, yang mengancam menyerang Bukit Aman.