Cuti atau tidak? Kes Guan Eng lain sikit, kata pemerhati

wan-saiful-ideas-1

PETALING JAYA: Walaupun secara prinsipnya, Lim Guan Eng perlu bercuti sepanjang perbicaraan rasuahnya, penganalisis dan pemerhati politik berpendapat ia bukan semudah itu kerana terdapat unsur pendakwaan terpilih.

Bagi Wan Saiful Wan Jan yang mengetuai Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), wujud halangan dari segi perlaksanaan berhubung perkara tersebut, walaupun beliau setuju ketua menteri Pulau Pinang itu perlu memberi ruang kepada seorang pemangku.

“Ada sedikit komplikasi perlaksanaan idea (bercuti) itu. Jadi saya rasa lebih bagus kalau keputusan di peringkat mahkamah dijalankan secepat mungkin.

“Tapi ini pun kita dah tahu pendengaran pertama akan dijalankan pada bulan September. Takkan tiga bulan itu tak ada buat apa-apa walaupun kes mahkamah belum berjalan. So ada komplikasi di situ yang perlu difikirkan lagi.

“Kalau itu tidak dapat dipastikan maka mungkin ada baiknya paling tidak DAP lantik orang lain memangku untuk jangka masa yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Wan Saiful berkata beliau tidak pasti siapa layak memangku tugas ketua menteri tetapi penggantinya perlu menjawat jawatan paling kanan dalam urusan parti dan mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

Semalam, Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mendakwa setiausaha agung DAP itu di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, atas tuduhan salah guna kuasa untuk kepentingan diri dan isterinya dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd menukar status tanah pertanian kepada kediaman.

Manakala ahli perniagaan, Phang Li Khoon didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Guan Eng pada 28 Julai 2015 berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn.

Kedua-duanya tidak mengaku bersalah dan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Pengerusi DAP Chow Kon Yeow dalam sidang medianya semalam berkata Guan Eng tidak perlu mengambil cuti sementara menunggu perbicaraan rasuah terhadapnya, dan semua urusan kerajaan negeri serta kerja akan berjalan seperti biasa.

Bagi aktivis berpusat di Pulau Pinang, Anil Netto, kepimpinan DAP sendiri perlu memutuskan sama ada Guan Eng perlu mengambil cuti atau tidak.

“Terpulang sama ada kepimpinan DAP melihatnya sebagai pendakwaan semata-mata, atau bermotifkan politik. Kita tidak boleh melihat kes ini semata-mata, tetapi konteks ia berlaku,” katanya lagi.

Beliau mendakwa, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan mensasarkan pemimpin pembangkang dan aktivis NGO, terutama di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hal ini sudah berlaku sejak 3-4 tahun ini. Maka kes Guan Eng ini tidak jelas (sama ada bermotif politik). Lihat juga institusi negara yang berat sebelah. Kita perlu melihat dalam konteks ini juga,” katanya lagi ketika dihubungi.

Penganalisis politik, Dr Wong Chin Huat, memberitahu FMT Guan Eng tidak seharusnya mengambil cuti sepanjang perbicaraan dijalankan.

Ini kerana, katanya, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara tidak bebas.

“Berapakah pemimpin pembangkang terpaksa mengambil cuti apabila mereka sengaja didakwa di mahkamah?

“Kita terpaksa mengambil kira fakta bahawa Malaysia bukan sebuah demokrasi dengan institusi awam yang bebas dan tidak memihak,” katanya.