Demo anti-Israel di KL, PAS tidak hadir

palastinprotes

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan Islam hari ini berhimpun di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang hari ini sempena Hari Antarabangsa Al-Quds, yang diadakan bagi menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin setiap Jumaat terakhir Ramadan.

Turut hadir ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Tian Chua dan aktivis Hishamuddin Rais.

Namun tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, kelibat penyokong dan pemimpin PAS, yang sering mengadakan demonstrasi anti-Zionis, tidak kelihatan pada acara hari ini.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang merupakan salah satu badan penganjur, pihaknya memberikan hebahan dan jemputan terbuka berhubung perarakan hari ini.

“Kami buat hebahan dan menganggap semua sudah dijemput. Kami tidak boleh menghantar jemputan khusus kepada setiap badan. Lagipun memang umum mengetahui hari ini adalah sambutan Al-Quds,” kata Pengerusi Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.

palastinprotes1

Ditanya mengapa PAS tidak menyahut jemputan itu, Azmi sekadar berkata: “Itu kena tanya mereka sendiri.”

Perarakan disertai lebih 200 hadirin dan bermula dari Masjid Tabung Haji, sebaik sahaja selesai solat Jumaat kira-kira jam 2.30 petang.

Sebuah memorandum diserahkan oleh Azmi dan Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Asia Tenggara, Abdul Ghani Samsudin, kepada kedutaan AS.

‘Semua mazhab perlu bersatu’

Hari Al-Quds, merujuk Masjid Quds di Baitul Maqdis, Palestin, diadakan pada Jumaat terakhir setiap Ramadan dan diasaskan pemimpin revolusi Islam Iran, Ayatullah Khomeini.

Bagi Abdul Ghani, hakikat ia diasaskan pemimpin Islam beraliran Shiah tidak sepatutnya menghalang rakyat Malaysia bermazhab Sunnah untuk sama-sama menyertai perayaan itu.

Beliau berkata, isu pembebasan Palestin daripada penjajahan Israel bukan sahaja perlu merentasi mazhab, tetapi juga warna kulit.

“Tanpa mengira mazhab apa, saya harap isu pembebasan Masjid Al-Aqsa ini dilihat sebagai isu teras,” katanya lagi.

Sementara itu, Azmi menyatakan komitmen melakukan apa sahaja yang termampu bagi memastikan memorandum itu sampai ke tangan Presiden AS, Barack Obama.

“Kalau boleh telefon, saya akan telefon dia. Masanya sebagai presiden semakin sampai ke penghujung, inilah masanya untuk dia berbuat sesuatu untuk Palestin,” katanya lagi.

Negara Arab membisu

Turut menarik perhatian adalah dua peserta wanita – Sharifah Hauta dan Sharifah Umara – yang menutup mulut mereka dengan kertas yang tertera ungkapan “silent”.

Sharifah Umara berkata, ia adalah kritikan khusus mereka buat negara Arab terutama Arab Saudi yang berdiam diri dalam membela nasib Palestin, wilayah yang tidak jauh dari mereka.

“Ini untuk Arab Saudi dan juga negara Arab lain. Mereka bukan sahaja tidak bela Palestin, tapi beri sokongan kepada Amerika Syarikat yang menyokong Israel,” katanya lagi.