Gereja PJ batal majlis buka puasa

Syed Azmi

PETALING JAYA: Walaupun terpaksa membatalkan majlis berbuka puasa antara agama yang dirancangkan, Gereja Assumption di sini mengagihkan makanan yang telah disediakan kepada orang ramai.

Salah seorang yang hadir, tetapi tidak mahu dinamakan, memuji usaha gereja itu mengukuhkan hubungan antara agama dan berharap perkara ini tidak dibesar-besarkan.

“Tidak ada salahnya menjemput kawan daripada agama lain untuk bersama buka puasa.

“Insan daripada agama dan kepercayaan lain-lain sepatutnya boleh berbuka puasa bersama. Bermasyarakat,” katanya kepada FMT.

Awal hari ini, aktivis Syed Azmi Alhabshi memuatnaik mengenai pembatalan majlis itu di Facebook selepas polis menasihatkan mereka akan kemungkinan individu atau kumpulan mahu membuat kacau malam ini.

Selepas mengambil kira semua pilihan yang ada, gereja memilih untuk membatalkan acara itu,” katanya.

Namun, bagi mengelakkan pembaziran, Syed Azmi berkata mereka yang merancang untuk menyertai majlis itu boleh datang ke gereja itu untuk mengambil makanan yang tersedia sebelum berbuka puasa.

Penganjur menyediakan 70 bekas makanan iaitu nasi dan lauk-pauk, kuih-muih dan minuman di luar gereja. Tikar sembahyang turut disediakan untuk muslim.

Menurutnya, Reverend Mitchel Anthony dari gereja itu berkata: “Kawan-kawan kami yang beragama Islam dialu-alukan makan di perkarangan gereja tetapi maaf pintu dewan tidak akan dibuka.”

“Saya akan sediakan beberapa meja kecil di luar dewan,” kata Mitchel dan menambah meja itu untuk mereka yang “kesuntukan masa atau tidak punyai tempat untuk berbuka puasa”.

Mitchel, ketika ditemui berkata, program itu pada awalnya dianjurkan untuk pelajar yang mahu bertemu secara santai, “malangnya, pihak tertentu mungkin tersalah faham dan membuat laporan polis.”

“Kami juga tidak mahu menguar-uarkan acara ini secara berlebihan kerana kita tak sediakan makanan yang cukup untuk kehadiran yang besar.”

Seorang lagi yang hadir, juga tidak mahu dinamakan berkata, pengagihan makanan berjaya walaupun acara buka puasa terpaksa dibatalkan.

“Penganjur berjaya sebarkan mesej kepelbagaian budaya.

“Sebenarnya perkara-perkara kecil yang kita lakukan itulah yang menjadikan dunia lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Rayyan Haries, seorang sukarelawan misi bencana berusia 25 tahun berkata, suasana manusia pelbagai agama duduk bersama berkongsi makanan dari meja yang sama satu pemandangan yang mengagumkan.

“Kita semua berkongsi warna darah yang sama. Kita semua rakyat Malaysia.

“Sangat menakjubkan dan mengagumkan kita dapat berbuka puasa bersama walaupun berlainan agama.”

Syed Azmi memuji penganjur yang berusaha untuk mengagihkan makanan.

“Penganjur patut dipuji diatas usaha mereka. Saya berbangga ia berlangsung dengan kemesraan.

“Apa kata kita semua lepak minum teh tarik di luar gereja. Saya belanja.”