Isteri Sanjeevan: Suami dirawat sambil mata tutup

sanjeevanKUALA LUMPUR: Isteri Datuk R. Sri Sanjeevan yang kini ditahan polis hari ini mengadu polis menafikan hak asasi suaminya dan bertindak bersendirian tanpa memaklumkan keluarga perkembangan terkini.

Kasturi Karuppaman berkata, suaminya mengalami masalah kesihatan dan perlu rawatan rapi di hospital.

“Sanjeevan alami masalah kesihatan, selepas penangkapan semula, ahli keluarga tidak diberitahu jenis dan rawatan yang diterimanya.

“Sanjeevan bukannya pengganas dan dia sepatutnya menerima rawatan dari pihak hospital,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam), hari ini.

Sanjeevan, pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (Mywatch), ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ketika pengendali judi ekor menyerahkan wang tunai melebihi RM25,000 kepadanya.

‘Mata ditutup, tangan digari’

Kasturi berkata diberitahu tentang suaminya melalui peguam, dan mendakwa suaminya dirawat sambil mata ditutup dan tangan digari.

“Kita tidak tahu sama ada itu adalah doktor yang sebenar ataupun doktor palsu. Kerana, doktor tersebut tidak mengikuti etika seorang doktor.

“Doktor seharusnya bertanya kepada pesakit apakah penyakit yang dia alami. Tetapi doktor ini senyap tanpa bertanya sebarang apa-apa soalan dan tiada ubat-ubatan yang diberikan,” ujarnya.

Tambahnya, pegawai penyiasat kes Sanjeevan juga enggan mendedahkan maklumat bila dan siapa memberikan rawatan kepada Sanjeevan.

“Semalam saya ada berjumpa dengan dia selama lima minit dan keadaaan dia kelihatan sangat lemah,” katanya.

Kasturi dan ibu bapa Sanjeevan hadir di Suhakam bersama-sama Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, bagi menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya SUHAKAM, Prof Datuk Dr Aishah Bidin.

Antara tuntutan ialah supaya mendapat hak berjumpa, hak diberikan rawatan dan pengambilan perubatan yang sepatutnya, dan menggesa agar penangkapan semula secara Sanjeevan secara keterlaluan dihentikan.

Aishah yang menerima memorandum itu berkata, pihaknya akan meneliti desakan yang dibuat oleh ahli keluarga.

Selain itu, beliau meminta ahli keluarga bersabar dan kuat dalam menghadapi dugaan dan ujian ketika ini.