Kenapa DAP eksploitasi rakyat kutip RM1 juta? – Gerakan

Lee-Boon-Ten_dap

PETALING JAYA: Kenapa DAP perlu mengeksploitasi rakyat untuk mengutip RM1 juta untuk ikat jamin Lim Guan Eng?

Ahli Jawatankuasa Gerakan Pulau Pinang, Lee Boon Ten berkata RM1 juta bukan jumlah yang sukar untuk pembangkang sekiranya setiap wakil rakyat mereka memberi sedikit sumbangan daripada gaji mereka, dan setiap cawangan DAP menyumbang RM1,000 yang ditambah dengan gaji serta elaun Guan Eng kira-kira RM50,000 sebulan.

“Sekalipun DAP tidak mempunyai wang secukupnya, parti atau Guan Eng sepatutnya ada ahli dan penyokong berstatus jutawan, takkan mereka tidak boleh bantu Setiausaha Agung DAP itu?” soalnya lapor China Press.

Gerakan turut tertanya-tanya bagaimana DAP akan menguruskan RM1 juta yang disumbangkan orang ramai itu, selepas kes Ketua Menteri Pulau Pinang ini selesai.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebelum ini berkata sumbangan orang ramai akan digunakan untuk memulihkan akaun mereka selepas RM890,000 dikeluarkan untuk membayar ikat jamin Guan Eng. Baki RM110,000 adalah daripada DAP Pusat, dan juga akan dibayar balik menggunakan sumbangan yang sama.

“Lagipun wang itu akan dikembalikan kepada DAP, kenapa mereka perlu kutip wang daripada orang ramai?” soal Boon Ten.

Chow Kon Yeow hari ini berterima kasih kepada semua penderma, selepas parti itu berjaya mengutip RM1,009,000 dalam tempoh kurang 24 jam sehingga 2 petang tadi.

Boon Ten menjelaskan wang ikat jamin akan dipulangkan kepada Guan Eng walau apapun keputusan mahkamah. Wang ikat jamin itu bertujuan untuk memastikan tertuduh tidak melarikan diri.

“Guan Eng pun menang banyak kes sivil sebelum ini, ganti rugi yang diperolehinya bukan sedikit, perlu ke mengeksploitasi hasil titik peluh rakyat?”