Kit Siang ucap tahniah pada Peguam Negara

lim-kit-siang_apandi-ali_600GEORGE TOWN: Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyampaikan ucapan tahniah atas usaha Peguam Negara, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang dengan jayanya merangka dan mengecaj Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Orang kuat parti itu juga menyifatkan pertuduhan terhadap Guan Eng sebagai bersejarah dan pertama seumpamanya di dunia.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Peguam Negara, kerana beliau telah merangka tuduhan yang mungkin paling tidak masuk akal dalam sejarah pendakwaan bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

“Guan Eng dituduh menukar, meluluskan penukaran tanah pertanian kepada tanah kediaman.

“Tetapi kini, (tanah tersebut) masih tanah pertanian. Dan ia boleh menjadi subjek pendakwaan dalam usaha untuk menghapuskan Ketua Menteri. Ia tidak munasabah,” katanya kepada pemberita di Town Hall, Jalan Padang Kota Lama di sini semalam.

Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan salah guna kuasa, menggunakan kedudukannya untuk membeli banglo di bawah nilai pasaran.

Beliau juga dituduh mengubah status tanah pertanian demi memberi manfaat kepada syarikat bekas tuan tanah itu.

Guan Eng berkata, ia transaksi yang tranparen tanpa apa-apa nikmat sebagai balasan.

Sementara itu, Kit Siang menggelar pertuduhan terhadap Guan Eng sebagai satu percubaan menganiaya orang yang tidak bersalah, manakala mereka yang merasuah pula disembunyikan terang-terang.

“Nampaknya mereka yang berkuasa tidak mahu menghapuskan rasuah, malah membenarkan rasuah ‘bermaharajalela’ (dalam kalangan pemerintah tertinggi) di negara ini.

“Pergilah ke seluruh dunia, persepsi mengenai rasuah di Malaysia semakin serius, semua orang tahu mengenai derma dan skandal dana negara.

“Mereka bertanya, jika kita serius menangani rasuah … dan kita pula berkata ‘tindakan sedang diambil’,” kata Kit Siang.

“Kita memerlukan iltizam (komitmen) semua rakyat Malaysia untuk bersatu bangkit di atas nama bangsa, agama dan parti politik bagi menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai menggambarkan ia ‘hari gelap’ untuk demokrasi, keadilan dan penghakiman untuk Malaysia.

Tan berkata parti itu tidak meragui integriti Guan Eng justeru menyeru rakyat Malaysia untuk perhimpunan demi mempertahan keadilan.