Lagu raya versi ‘Mat Salleh’, boleh?

tomas-1

PETALING JAYA: Klip video seorang warga Australia menyanyikan lagu Hari Raya berdasarkan lagu kumpulan Black Eyed Peas mencuit hati pengguna Internet.

“Esok nak raya… oooohooo… Tak sabar nak makan ketupat,” Tomás Ford, seorang penghibur dari Perth, membuka lagunya dalam pelat “Mat Salleh”, berdasarkan irama “I Gotta Feeling” yang pernah dipopularkan Black Eyed Peas

Klip dua minit itu dimuatnaik dalam Facebook beliau pada 27 Jun, dan sehingga hari ini menerima lebih 155,000 kunjungan di samping lebih 4,000 “shares”.

“Tak sabar nak makan ketupat, tak sabar nak makan ketu-tu-pat,” Ford bernyanyi sambil menari di ruang dapurnya, dengan memakai sut dan tali lehernya dilonggarkan, sementara seekor kucing dilihat mencari makanan bersebelahan dapur gasnya.

“Malam ini! Kita makan! Sampai pengsan! Yeah Raya! Duit raya! Like oh my God! Jump off the sofa!

“Nak raya, nak raya, nak raya, nak raya…,” nyanyinya berulang kali.

“Isnin, Selasa, Rabu and Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad. Makan ketupat. Kenyang makan ketupat”

Ford merupakan seorang penghibur luar biasa yang kerap menggabungkan elemen muzik elektro dan kabaret dalam persembahannya yang dimuat naik di Internet.

Ford sebelum ini pernah juga menyanyikan lagu Rihanna “Work” versi Bahasa Melayu.

“Hari-hari kerje je je je,” nyanyi Ford dalam video YouTube.

Ford berkata beliau belajar bertutur Bahasa Melayu dengan sendiri, dan masih di tahap mengenali “warna dan nombor”.

VIDEO LINK