Pakar: Hati-hati cucuk sarang IS

ISIS

PETALING JAYA: Malaysia bukan lagi sekadar laluan transit pengganas tetapi juga menjadi sasaran, dan oleh itu lebih banyak langkah keselamatan dan kewaspadaan diperlukan, kata seorang pengkaji keganasan.

Pensyarah kajian jenayah di Universiti Help, R Paneir Selvam, memberitahu FMT kenyataan cuai perlu dielakkan kerana ia boleh membangkitkan kemarahan atau mencabar kumpulan pengganas itu.

Ini termasuk kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dilaporkan mencabar anggota IS warga Malaysia di luar negara supaya pulang sekiranya berani.

“Ancaman kumpulan pengganas, terutamanya IS, tidak boleh diambil ringan. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai matlamat mereka,” kata Paneir yang merupakan pengerusi Persatuan Penyelidik Dasar dan Undang-Undang.

“Lihat serangan terbaharu di Istanbul, Brussels dan Paris. Walaupun ada langkah keselamatan yang tinggi, mereka boleh melakukan serangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa yang besar.

“Sebab itu pihak berkuasa tidak boleh rasa terlalu yakin. Mereka tidak patut membahayakan keselamatan orang awam dengan membuat kenyataan-kenyataan yang membangkitkan kemarahan pengganas hingga mahu menyerang kita.”

Khalid dilaporkan membuat kenyataan itu Jumaat lepas, menjawab video yang memaparkan pengganas IS warga Malaysia di Syria mengancam menyerang Bukit Aman.

Dalam video propaganda itu, tiga pengganas IS di Syria – rakyat Malaysia yang dikenalpasti polis sebagai Mohd Rafi Udin dari Negeri Sembilan, seorang rakyat Filipina dan seorang rakyat Indonesia – bergilir menggesa penyokong di tiga negara ini melakukan serangan.

Mereka dalam video itu dipercayai anggota divisyen Khatibah Nusantara, iaitu cawangan Asia Tenggara IS di Syria.

Paneir berpendapat pihak berkuasa harus meneliti mesej sebenar kata-kata yang dituturkan dalam video itu yang antara lain, mungkin untuk mengaktifkan sel militan dalam negara.

“Itu, dan langkah keselamatan yang lebih baik harus jadi perhatian. Banyak negara menjadi mangsa kepada serangan pengganas. Kita perlu pastikan Malaysia tidak tersenarai.”