Pengalaman jadi imam di Amerika Syarikat

imamas

VIRGINIA: Pengalaman hari pertama menjejak kaki di bumi Amerika Syarikat pada hari ketiga Ramadan, tidak akan dilupakan bagi dua imam muda dari Malaysia kerana mereka diminta menjadi imam solat Isyak dan tarawih di Pusat Islam McLean, di Falls Church di sini.

Mohamad Alif Mursyid Husry dan Mohamad Fadhilah Al-Hakam Othman, masing-masing berusia 21 tahun adalah pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di Kuantan, dihantar Yayasan Pahang bersama-sama tiga lagi pelajar institusi itu melalui program Kembara Ramadan ke Australia, Sweden dan Amerika Syarikat.

Kedua-dua anak muda itu berpeluang bersama masyarakat Islam di sekitar Washington dan utara Virgina selama 25 hari.

Semasa hari pertama tiba di Pusat Islam McLean, mereka disambut Ahli Lembaga Pengarahnya Dr Maqsood Chaudry serta barisan kepimpinan pusat Islam itu.

“Hari pertama di Pusat Islam McLean, kami diberi tugas menjadi imam kepada jemaah yang terdiri daripada warga Amerika, Asia Selatan dan Timur Tengah untuk mengerjakan solat Isyak dan bergilir bagi solat tarawih, dengan empat rakaat setiap seorang, serta solat sunat witir,” kata Mohamad Alif Mursyid, lulusan Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat.

Anak lelaki sulung daripada tiga beradik itu berkata walaupun ada sedikit perasaan gentar disebabkan keadaan sangat berbeza dari tanah air, beliau meneruskan tugas yang diamanahkan dengan penuh berhati-hati.

“Dapat dilihat keceriaan pada setiap wajah jemaah selepas diumumkan terdapat dua imam muda dari Malaysia, dan mereka memberikan tepukan selepas pengumuman dibuat Dr Maqsood.

“Kami membawa nama negara, jadi apa pun keadaannya, matlamat kami berada di sini sambil berdakwah perlu diteruskan,” kata anak kepada Pegawai Pendidikan Daerah Maran Husry Kamaruddin dan Cikgu Hanita Abdullah.

Selain menunaikan amanah menjadi imam di Pusat Islam McLean, kedua-dua imam muda itu turut berkesempatan mengimamkan solat Maghrib, Isyak dan tarawih kepada sekumpulan masyarakat Islam Malaysia pada majlis berbuka puasa di Pejabat Kedutaan Malaysia di Washington DC yang diadakan hampir setiap Jumaat.

Pada hari-hari lain, mereka akan menjadi imam di rumah pegawai kedutaan atau agensi kerajaan Malaysia yang tinggal di sekitar bandar Vienna (di Virginia) dan Falls Church yang menganjurkan majlis berbuka puasa serta solat tarawih secara bergilir hampir setiap malam.

Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussain berkata program Kembara Ramadan itu adalah satu program yang sangat memberi faedah dan tempiasnya turut dapat dirasai masyarakat Islam Malaysia yang berada di Amerika ini.

“Mereka bukan saja menjadi imam kepada rakyat Malaysia, malah lebih membanggakan menjadi imam kepada jemaah Islam yang berbilang bangsa dan kaum di sini.

“Mereka mengajar kelas fardu ain kepada kanak-kanak komuniti Malaysia di sekitar Washington dan Virginia setiap hujung minggu sepanjang Ramadan, semasa berada di sini,” katanya.

Kedua-dua imam muda itu juga berkesempatan bertemu masyarakat Islam Malaysia dan mengimamkan solat pada majlis berbuka puasa anjuran Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York.

Ditanya mengenai suasana puasa di Amerika, Alif Mursyid yang bakal melanjutkan pelajarannya di Universiti Al-Azhar, Mesir mengakui suasananya sangat berbeza.

“Walaupun terpaksa berpuasa lebih 16 jam, dan sedikit mencabar, dengan suasananya yang sederhana, tetapi amat meriah, saya dapat menambah ilmu tentang cara kehidupan masyarakat Islam di negara orang,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah dalam pengajian Islam.

Ditanya mengenai peluang bagaimana beliau terpilih untuk mengikuti program Kembara Ramadan itu, Alif Mursyid berkata mereka diminta pengetua Maahad untuk mengisi borang dan kemudiannya perlu menghadiri temu duga.

Sementara itu rakannya, Mohamad Fadhilah Al-Hakam berkata pengalaman malam pertama menunaikan tanggungjawab sebagai imam di tempat baharu adalah sangat mencabar.

“Kami tidak biasa dengan tempat itu, dan tidak tahu bagaimana kendalian solat oleh imam lain di pusat berkenaan, pada mulanya sedikit kekok kerana saya perlu mengetahui surah dan ayat Al-Quran yang dibaca imam lain semasa mengerjakan solat tarawih,” kata anak peneroka Felda Lepar Utara, Jerantut yang berkelulusan Diploma Tahfiz Al-Quran dan Syariah.

Katanya, walaupun ada sedikit kejutan budaya pada mulanya, tetapi selepas beberapa hari menjadi imam di pusat Islam berkenaan, menambahkan keyakinan dirinya untuk berhadapan jemaah warga asing.

Menteri Konsular Ekonomi Kedutaan Malaysia, Washington Hairil Yahri Yaakob semasa ditemui berkata kehadiran kedua-dua imam muda itu yang menetap di rumahnya membolehkan empat anaknya yang berusia 10 hingga 17 tahun mendalami tajwid Al-Quran.

“Selain anak mengikuti kelas fardu ain anjuran kedutaan, kehadiran kedua-dua imam yang menetap di rumah kami juga memberi sedikit kelebihan kerana punyai masa lebih mengulang kaji pelajaran yang diajar,” katanya.

Bagi kedua-dua imam muda itu, pengalaman pertama berjalan di tengah kota raya New York sejauh 12.9 kilometer dari Battery Park ke pejabat perwakilan Malaysia pada bulan puasa dengan cuaca yang panas, adalah sesuatu yang melucukan serta tidak akan dilupakan.

BERNAMA