Polis mahu manfaatkan Facebook kesan budak hilang

ACP Ong Chin Lan

KUALA LUMPUR: Polis berhasrat menjalin kerjasama dengan Facebook untuk memaparkan gambar kanak-kanak hilang di laman sosial itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman ACP Ong Chin Lan berkata mesyuarat dengan wakil Facebook akan diadakan September ini.

“Kami berharap pop-naik gambar kanak-kanak hilang dapat dipaparkan di Facebook semua orang. Pop-naik itu boleh terpapar selama 24 jam selepas seorang kanak-kanak dilaporkan hilang.

“Hampir semua orang guna Facebook. Mereka yang tak mahu daftar pun akan daftar mengikuti zaman,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Kaedah lain yang digunakan polis ketika ini adalah memaparkan gambar kanak-kanak hilang melalui ATM bank RHB di seluruh negara dan laman sesawang Nur Alert.

Chin Lan berkata kira-kira 2,000 kanak-kanak hilang setiap tahun, dimana hampir 99% daripada mereka dijumpai.

Pada 2011, 1,859 kanak-kanak dilaporkan hilang (98% dijumpai), diikuti 2,193 pada 2012 (99% dijumpai), 2,054 pada 2013 (99% dijumpai), 2,015 pada 2014 (97% dijumpai) dan 1,782 pada 2015 (88% dijumpai).

Dari Januari ke Mei tahun ini, seramai 733 kanak-kanak dilapor hilang, dimana 59% dijumpai.

Kebanyakan remaja yang dilaporkan hilang adalah gadis berusia antara 13 dan 15, dan dilaporkan hilang dari rumah untuk mencari kebebasan, atau untuk hidup bersama kawan atau kekasih.

Chin Lan turut menyentuh mengenai pedofil di Malaysia. Beliau memetik tiga kes dimana saspek mendera kanak-kanak secara seksual yang berusia antara 10 ke 12 tahun.

Majoriti mangsa kanak-kanak lelaki.

Kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 63 tahun yang berjaya meraih kepercayaan ibu bapa mangsa.

“Apabila polis terima maklumat, lelaki itu sudah pun mempunyai beberapa kanak-kanak bawah jagaannya.

“Lelaki itu menyimpan kanak-kanak dalam keadaan berbogel di unit kondo miliknya supaya kelihatan seolah-olah ia perkara normal. Mereka diliwat atau dipaksa melakukan seks oral.

Ketika disoal siasat, lelaki itu memberitahu dirinya juga mangsa deraan seksual jirannya.

Kes kedua melibatkan jurutera berusia 30 tahun dari Singapura yang telah mendera secara seksual 31 kanak-kanak di Singapura dan 15 kanak-kanak di Malaysia.

Lelaki itu juga mangsa deraan seksual guru tuisyennya.

Kes ketiga adalah seorang wanita yang memperkosa seorang lelaki berusia 18 tahun. Mangsa merupakan rakan sekelas anak saudaranya.

“Saya beritahu mangsa supaya membuat laporan polis atau datang dan berjumpa saya untuk kaunseling, tetapi mangsa tak tampil.

“Ia melibatkan harga diri. Ramai dalam kalangan mereka tidak mahu ke depan dan merana dalam diam.”

Chin Lan meminta orang ramai supaya tampil membuat laporan kepada polis, yang mempunyai rumah perlindungan untuk mangsa rogol dan liwat, serta mempunyai khidmat kaunseling sebagai sokongan.

“Mangsa tak perlu merana dalam diam. Lebih awal mereka ke depan, lebih baik untuk diri mereka dan semua orang.”