PTPTN siasat peminjam bayar penuh dilarang ke luar negara

PTPTN

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih sedang mengenalpasti punca kelewatan kemaskini rekod bayaran peminjam Safura Foo yang disekat ke luar negara walaupun bayaran penuh sudah dibuat.

PTPTN dalam kenyataan medianya meminta peminjam supaya sentiasa menyemak penyata akaun secara online bagi memastikan bayaran yang dibuat sentiasa dikemaskini.

Foo bekas pelajar bidang fotografi dari Segi College, Subang Jaya sebelum ini dihalang daripada keluar negara kerena namanya disenarai hitam atas alasan tidak membuat bayaran PTPTN yang tertunggak sekitar RM3,000.

Foo bagaimanapun mendedahkan dia telah membuat bayaran penuh RM18,449.35 pada Mac tahun lepas.

“Sekiranya transaksi yang dibuat masih belum dikemaskini selepas 3 hari bekerja, aduan boleh dibuat secara online melalui ikon Aduan,” kata PTPTN, lapor Bernama.

Perbadanan itu berkata, ia sentiasa berusaha mengurangkan kerenah birokrasi dengan membuka cawangan di seluruh negara.

PTPTN juga menyediakan perkhidmatan online melalui portal rasmi PTPTN, www.ptptn.gov.my