Saddiq mahu Guan Eng contohi bos CIMB

saddiq

PETALING JAYA: Aktivis muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, perlu mengambil contoh pengerusi Kumpulan CIMB sebelum ini yang mengambil cuti sementara dirinya disiasat.

“Ini penting lebih-lebih lagi DAP mempunyai pendirian tegas mengenai prinsip kecekapan, akauntibiliti dan ketelusan (CAT),” kata pelajar Universiti Islam Antarabangsa itu, yang merupakan sebahagian pergerakan Deklarasi Rakyat anjuran Tun Dr Mahathir Mohamad.

April lalu, Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak, dengan sukarela mengambil cuti sementara siasatan bank dilakukan terhadap isu membabitkan pengagihan dana berjumlah AS$7 juta kepada ahli politik Barisan Nasional dari abangnya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 2013.

Saddiq berkata sebagai tokoh politik, Guan Eng berupaya mempengaruhi keputusan mahkamah dengan cara memusnahkan bukti dan mengugut saksi.

“Mana-mana tokoh umum yang berhadapan perbicaraan perlu meletak jawatan atas dasar prinsip,” katanya.

Semalam, Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mendakwa setiausaha agung DAP itu di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, atas tuduhan salah guna kuasa, berhubung pembelian banglo dan penukaran status tanah dari pertanian kepada kediaman.

Guan Eng yang mengaku tidak bersalah berkata tindakan mahkamah itu merupakan usaha menjatuhkan pentadbirannya, dan bertegas tidak akan tunduk kepada tekanan.

DAP juga mengumumkan beliau tidak akan mengambil cuti sementara menunggu perbicaraan September ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, mempersoalkan desakan Guan Eng mengambil cuti.

“Adakah Lim Guan Eng mampu mempengaruhi siasatan dan pendakwaan terhadapnya?

“Adakah Lim Guan Eng mampu memecat Ketua Pengarah SPRM, atau mana-mana anggota polis dan pendawak raya?

“Adakah Lim Guan Eng mampu mengubah keterangan dan bahan bukti yang telah berada dalam tangan Peguam Negara?” tanya beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi Saddiq pula, mengambil cuti akan memberikan contoh baik kepada generasi akan datang.

“Ini lebih-lebih lagi kepada DAP kerana sebelum ini ia kerap menuntut beberapa pihak meletak jawatan sementara penyiasatan atau perbicaraan berjalan,” katanya.

 

Cuti atau tidak? Kes Guan Eng lain sikit, kata pemerhati