‘Tak salah cuma tak wajar Apandi masuk kes Guan Eng’

eric-paulsen-1

PETALING JAYA: Tidak salah Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengetuai pendakwaan terhadap Lim Guan Eng, kata peguam.

Bagaimanapun, ia amalan tidak digalakkan terutama melibatkan kes berprofil tinggi yang terpalit dengan tuduhan ianya bermotif politik.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen menjelaskan Apandi bukan sahaja seorang pendakwaraya tetapi juga penasihat undang-undang kepada kerajaan.

“Jadi dengan mengetuai pendakwaan untuk mensabitkan seorang pemimpin pembangkang, Apandi mengundang persepsi negatif dari orang awam terhadapnya selaku peguam kanan negara, dan terhadap pejabatnya.

“Seperti yang kita tahu, jawatan peguam negara adalah atas budi bicara perdana menteri.

“Malah pembabitan beliau dalam kes Guan Eng makin kontroversi lantaran kaitannya dengan Umno yang pernah disertainya.”

Beliau menambah, pejabat pendakwaraya perlu bebas daripada sebarang skandal dan dakwaan prejudis atau ketidakadilan.

“Terutamanya iklim politik negara ketika ini, di mana keyakinan orang awam terhadap sistem keadilan terhakis susulan tindakan demi tindakan undang-undang terhadap pembangkang,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah, beberapa orang yang dikaitkan dengan Umno, seperti Datuk Ibrahim Ali, Datuk Jamal Yunos, Ali Tinju dan ramai lagi tidak diheret ke mahkamah.

Peguam Syahredzan Johan bersependapat, dan mempersoalkan mengapa Apandi begitu tertarik dengan kes Guan Eng hingga perlu turun padang dan ketuai pendakwaan.

Oleh kerana Apandi menentukan sama ada Lim diheret ke mahkamah atau tidak, beliau sewajarnya beri kes ini kepada orang lain.

“Bukan tidak ada pendakwaraya kanan yang boleh jalankan tugas itu,” katanya ketika dihubungi FMT.

“Perlu ada jarak antara orang yang menentukan patutkah seseorang itu didakwa, dengan seseorang yang melaksanakan pendakwaan itu.”

Ketua menteri Pulau Pinang itu didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana membenarkan permohonan perlingkungan semula tanah milik syarikat Phang Li Koon, Magnificent Emblem, dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana membeli hartanah pada harga bawah nilai pasaran.

Apandi mengetuai pasukan pendakwaaan dan meminta kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Syahredzan bersetuju Apandi tidak dapat menggunakan kedudukannya mempengaruhi Mahkamah Tinggi.

“Hakim-hakim mahkamah tinggi dilantik Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, dan kerana mereka punyai hak pelantikan tetap antara lain, sebarang pelantikan atau pemecatan perlu melalui tribunal, bukan melalui Peguam Negara,” jelasnya.

“Dari segi itu tidak ada percanggahan kepentingan.”